fbpx

Suami sakit kanser, isteri strok rayu bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAHIR (kiri) menjaga isterinya yang terlantar di rumahnya di Kampung Sentang, Lipis.

LIPIS – Seorang lelaki yang menderita kanser tekak sejak empat tahun lalu kini terpaksa berkorban menjaga isterinya yang terlantar akibat strok di rumah mereka di Kampung Sentang di sini.

Tahir Al Tipah, 58, yang tidak dapat bercakap akibat barah terpaksa memberi tumpuan sepenuhnya untuk menjaga isterinya, Faridah Ishak, 58.

Kakak ipar Tahir, Siti Hapesah, 73, berkata, adik iparnya itu tidak mampu bekerja kerana uzur di­sebabkan menderita penyakit barah selain perlu menguruskan isterinya yang terlantar.

“Dalam keadaan itu, Tahir berulang-alik ke hospital membuat rawatan, tetapi keadaan penya­kitnya membimbangkan sehingga dia kehilangan suara dan tiada selera makan.

“Dia terus diuji apabila iste­rinya yang juga adik saya diserang strok. Pada mulanya Faridah mengalami strok ringan, tetapi lama-kelamaan bertambah teruk sehingga terlantar,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Siti Hapesah, Tahir tidak mempunyai pendapatan sejak menderita kanser kerana tidak mampu lagi keluar bekerja.

Jelasnya, Faridah pula bergantung dengan susu khas dan pelbagai keperluan lain terma­suk lampin pakai buang dengan perbelanjaan bulanan sebanyak RM1,800.

“Walaupun Faridah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan, tetapi jumlah itu tidak mencukupi memandangkan mereka perlu berulang-alik ke Hospital Lipis,” ujarnya.

Pasangan itu mempunyai dua anak yang masih bersekolah berusia 12 dan 16 tahun.

“Keluarga ada membantu mereka, tetapi tidak sepenuhnya kerana kami juga mempunyai tanggungan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Faridah Ishak bernombor 0600641000050062.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI