TONGGAK pertahanan skuad Harimau Malaya, V. Ruventhiran melebarkan ‘sayap’ dengan menjadi pemain baharu pertama yang ditandatangani pasukan Selangor FC bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2023 nanti.
Lebih manis, kehadiran Ruventhiran yang mewakili skuad Petaling Jaya City (PJ City) sebelum ini boleh dianggap sebagai ‘sirih pulang ke gagang’ memandangkan dirinya merupakan bekas pemain pembangunan Gergasi Merah.
Bek kiri berusia 21 tahun itu mengakui cukup teruja dapat menyarung jersi keramat Merah Kuning kendalian Tan Cheng Hoe tahun depan dan berjanji untuk mencurahkan kudrat seratus peratus di atas padang.
“Saya pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden serta Piala Belia Selangor sebelum ini dan kepulangan saya ke Selangor FC bukanlah satu perkara yang asing dan saya gembira dapat menyarung jersi pasukan ini semula.
“Secara peribadi, sudah menjadi impian saya untuk mewakili skuad utama Selangor FC kerana ini adalah kelab gergasi yang mempunyai sokongan penyokong yang luar biasa.
“Sudah pasti hasrat saya adalah untuk berikan segalanya buat pasukan di atas padang nanti,” katanya.
Anak jati kelahiran Klang, Selangor ini sebelum ini pernah mewakili skuad Piala Belia Selangor pada 2019 dan dinaikkan pangkat ke Piala Presiden tahun berikutnya sebelum berhijrah ke PJ City pada musim 2021.
Ruventhiran yang ketika ini sedang bersama skuad kebangsaan untuk mengharungi Piala AFF 2022 tidak dapat meneruskan karier bersama The Phoenix selepas kelab itu menarik diri daripada bersaing dalam Liga M tahun depan.