fbpx

Rus’sele angkat sumpah sebagai Speaker DUN Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUS'SELE (empat dari kiri) bersama 15 ADUN selepas mengangkat sumpah jawatan di Kompleks DUN Perlis di Kangar, hari ini.

KANGAR – Naib Pengerusi II Perikatan Nasional (PN) Negeri Perlis, Rus’sele Eizan mengangkat sumpah jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Rus’sele, 65, berkata, pelantikan itu merupakan satu penghargaan dan amanah besar yang perlu dipikul dengan sebaiknya bagi melaksanakan tugas diberikan.

“Tahniah juga atas pelantikan semua wakil rakyat, Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri.

“Terima kasih diucapkan kepada semua wakil rakyat terdahulu yang telah berusaha bagi memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap
pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama DUN Perlis, di sini hari ini.

Rus’sele merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) telah dipilih bagi menggantikan Datuk Hamdan Bahari yang memegang jawatan itu sejak 2013.

Sepanjang penglibatan dalam kancah politik, Rus’sele turut memegang beberapa jawatan lain dalam parti antaranya Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Perlis selain menjadi Ketua Badan Perhubungan PN Kawasan Arau.

Selain itu, 15 ADUN turut mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama DUN Perlis.

Dalam pada itu, Russele berkata, pihaknya berharap agar semua wakil rakyat baharu yang dipilih dapat memberikan seluruh usaha dan tenaga bagi membantu Menteri Besar dalam memastikan pentadbiran serta pembangunan negeri berada pada tahap membanggakan.

“Setiap wakil rakyat disaran agar dapat mematuhi Undang-Undang Tubuh Negeri dan berbahas dengan penuh integriti bagi memastikan perjalanan dewan lancar.

“Besar harapan saya agar Yang Berhormat sekalian dapat menghormati dewan ini sebagai satu wadah forum tertinggi di samping memberikan kerjasama penuh agar perbahasan berjalan dengan penuh tertib dan harmoni,” katanya.

Pada PRU15 lalu, PN yang diterajui Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya membentuk kerajaan negeri di Perlis selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN di negeri itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI