fbpx

Piala Dunia: Argentina sah juara, Perancis putih mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lionel Messi berjaya meledak dua gol untuk membantu Argentina menjuarai trofi Piala Dunia ketiga dalam sejarah.

DOHA – Pasukan Argentina menamatkan kemarau 36 tahun dengan menjulang trofi Piala Dunia edisi 2022 selepas menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti 4-2 pada aksi final yang berkesudahan 3-3 di Stadium Lusail sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad La Albeleceste membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan pasukan diketuai Lionel Messi, Julian Alvarez dan Angel Di Maria.

Sementara itu, Perancis yang juga juara bertahan edisi 2018 turut melakukan yang sama dengan meletakkan pemain berbisa seperti Olivier Giroud, Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele.

Namun, Perancis tidak dapat mengekang asakan bertali arus yang dilakukan Argentina sehingga menyaksikan wakil Amerika Selatan itu dihadiahkan sepakan penalti selepas Dembele menjatuhkan Di Maria pada minit ke-23.

Kesempatan itu digunakan oleh Messi untuk meledak gol pembukaan apabila mudah memperdayakan penjaga gol lawan, Hugo Lloris.

Momentum Argentina diteruskan apabila berjaya menjaringkan gol kedua menerusi serangan balas pantas yang berjaya disudahkan Di Maria pada minit ke-30 selepas menerima hantaran Alexis Mac Allister.

Tersentak dengan keputusan itu, pengendali Perancis, Didier Deschamps melakukan rombakan dengan mengeluarkan Giroud dan Dembele serta-merta untuk digantikan dengan Randal Kolo Muani dan Marcus Thuram.

Bersambung separuh masa kedua, Perancis kembali bernyawa apabila dihadiahkan sepakan penalti apabila Muani dijatuhkan dengan Mbappe merapatkan kedudukan buat wakil Eropah itu menjadi 1-2 pada minit ke-80.

Mbappe hanya memerlukan 90 saat untuk menyamakan kedudukan menjadi 2-2 selepas bijak menyudahkan hantaran Thuram sekali gus terpaksa menyaksikan aksi diheret ke masa tambahan.

Argentina kembali mendahului saingan dengan keputusan 3-2 selepas Messi berjaya menyudahkan keadaan kucar-kacir di kubu Les Bleus untuk jaringan kedua peribadi pada minit ke-108.

Mbappe memastikan saingan diteruskan ke penentuan penalti dengan meledak hatrik pada minit ke-118 sekali lagi menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan Argentina, Gonzalo Montiel.

Pemain-pemain Argentina, Messi, Paulo Dybala, Leandro Paredes dan Montiel berjaya menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan manakala Perancis meraih gol menerusi Mbappe dan Muani.

Ini adalah kejuaraan ketiga Argentina yang sebelum ini pernah memenangi Piala Dunia edisi 1978 dan 1986. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI