PERTAHANAN negara, Quentin Cheng merasakan skuad baharu Harimau Malaya sudah pun bersedia untuk melaksanakan ‘tuntutan’ daripada jurulatih pasukan, Kim Pan-gon.
Sejak mula mengambil alih pasukan, Januari lalu, jurulatih dari Korea Selatan itu sering menerapkan permainan lebih moden dan corak permainan lebih agresif pastinya menuntut stamina tinggi daripada setiap pemain.
“Saya fikir corak menekan pemain lawan lebih cepat menjadi taktikal penting dalam perancangan jurulatih. Jadi, sebagai pemain kami perlu ikut dan sebab itu saya rasakan kenapa pemain menjadi begitu cergas.
“Kami banyak berlari dan ia begitu menguji fizikal, tetapi saya rasa seluruh pasukan ada kemampuan untuk melaksanakan tugas ini. Jurulatih mahu kami beri tekanan untuk memaksa pasukan lawan buat kesilapan.
“Dari situ kami boleh mencuba untuk memanfaatkannya dengan menjaringkan gol,” katanya.
Harimau Malaya dijadualkan berlepas ke Yangon hari ini untuk aksi pembukaan Kumpulan B Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Rabu ini.
Seterusnya, Harimau Malaya bakal menerima kunjungan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini diikuti pertemuan dengan Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura pada 3 Januari.
Ketika ramai yang masih lagi ragu dengan skuad dimiliki Pan-gon ketika ini, tonggak pertahanan Selangor itu merasakan sebaliknya dan yakin Harimau Malaya tetap memiliki kualiti untuk mara lebih jauh.
“Semua orang ada pendapat sendiri dan kami tahu skuad ini tanpa ramai pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), namun semua pemain yang dipilih kali ini ada kualiti dan sebab itu jurulatih memanggil mereka.
“Saya yakin kami mampu pergi jauh. Ketika ini, aspek fizikal dan mental pasukan sudah berada pada tahap terbaik sebelum memulakan kempen menentang Myanmar,” katanya.