TANAH MERAH – Lebih 15 rumah di Kampung Tebing Tinggi di sini semalam menempuh detik cemas apabila rumah mereka tiba-tiba gelap selepas lapan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di daerah ditutup.
Ketiadaan bekalan asas itu menjejaskan kehidupan dan rutin harian mereka meskipun kawasan berkenaan tidak terlibat dengan banjir.
Seorang penduduk, Aziz Salleh, 65, berkata, bekalan elektrik di kampungnya telah terputus sejak pukul 1 tengah hari sehingga menyebabkan beberapa urusannya tergendala.
Menurutnya, keadaan itu turut memaksa dia memindahkan adik iparnya yang menghidap sakit jantung ke rumah anak saudaranya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu agar lebih selesa.
“Kami di sini tidak terjejas dengan banjir, malah tiada rumah yang dinaiki air di kampung ini, namun elektrik telah ditutup sejak semalam.
“Keadaan itu memberi kesan kepada kehidupan harian kami di sini kerana banyak rutin asas tergendala,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, sebanyak 322 pencawang elektrik di Terengganu dan Kelantan ditutup berikutan keadaan hujan lebat dan banjir ketika ini.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline dalam satu kenyataan di Facebook berkata, tindakan itu diambil demi keselamatan pengguna setempat.
Daripada jumlah itu, 94 pencawang di empat daerah di Kelantan iaitu Pasir Mas dengan jumlah 59 pencawang, Pasir Puteh (22), Tanah Merah (8) dan Kota Bharu (5) telah ditutup.
Bagi seorang lagi penduduk, Hamidah Mat, 55, berkata, dia terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian termasuk mandi dan memasak.
“Penduduk di sini terpaksa bergelap sejak semalam apabila tiada elektrik. Saya terpaksa memasak dan mandi dengan menadah air hujan.
“Oleh itu, kami sangat berharap agar bekalan elektrik dapat disambung semula memandangkan kawasan ini tidak terlibat dengan banjir,” katanya. – KOSMO! ONLINE