LONDON – Pemandu muda berpotensi, Mick Schumacher berharap penghijrahannya ke pasukan Mercedes dapat membantu pelumba utama, Lewis Hamilton dan George Russell menjuarai kejohanan dunia pada saingan Formula Satu (F1) musim depan.
Sebagai rekod, Mick telah disahkan menjadi pelumba simpanan kepada pasukan berpangkalan di Brackley, England itu selepas kontraknya bersama Haas berakhir sejurus tamat kempen musim lalu.
Sepanjang dua tahun bersama Haas, Mick gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan khususnya musim ini selepas hanya mengutip 12 mata untuk berada di kedudukan ke-16 sekali gus diganti dengan pelumba berpengalaman, Nico Hulkenberg.
Malah, kontrak Mick bersama Ferrari juga sudah berakhir selepas pasukan itu tidak mahu menawarkan kontrak baharu selaku pelumba akademi yang disandang sejak tahun 2019.
Kini, pelumba berusia 23 tahun kelahiran Jerman itu berharap dapat menyumbangkan sesuatu yang berharga buat Mercedes dalam memastikan pasukan itu kembali digeruni pada kempen musim depan.
“Saya harap tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan ini kerana saya tahu jentera yang bakal dibekalkan serta corak pemanduan yang diterapkan. Walaupun hanya pelumba simpanan, saya tetap perlu bersedia.
“Apa yang penting, saya mahu sumbangkan sesuatu kepada pasukan ini khususnya dalam membantu pelumba utama memperbaiki kelemahan ketika melakukan ujian simulasi yang saya anggap fasa cukup penting,” katanya.
Kehadiran Mick ke Mercedes boleh dianggap simbolik kerana mengulangi jejak bapa kandungnya yang juga juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher yang memandu jentera itu pada musim 2010 hingga 2012. – AGENSI