fbpx

MetMalaysia terus pantau ramalan cuaca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan berterusan memantau model-model ramalan cuaca terkini susulan fenomena hujan berterusan di timur dan utara Semenanjung yang masih berlaku dijangka sehingga 21 Disember ini.

Ketua Pengarah Met Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, hujan berterusan yang melanda negara ketika ini bagaimanapun adalah perkara biasa yang terjadi semasa Monsun Timur Laut (MTL) pada setiap hujung tahun disebabkan luruan monsun.

“Bagaimanapun, tinjauan di tiga stesen meteorologi mendapati jumlah hujan terkumpul dalam tempoh 1 hingga 18 Disember lalu sudah pun melebihi purata hujan bulanan pada Disember.

“Jumlah hujan terkumpul untuk tempoh 1 hingga 18 Disember di Stesen Meteorologi Kota Bharu, Kelantan ialah 1270.8 milimeter, di Stesen Meteorologi Gong Kedak, Kelantan ialah 1158.8 milimeter dan di Stesen Meteorologi Kuala Terengganu, Terengganu ialah 985.8 milimeter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Muhammad Helmi, amaran hujan berterusan untuk episod hujan lebat kedua MTL 2022/2023 telah dikeluarkan pada 14 Disember lalu dengan amaran mula berkuat kuasa pada 17 Disember iaitu amaran yang dikeluarkan tiga hari sebelum kejadian.

“Dalam tempoh 14 hingga 19 Disember, sebanyak enam amaran hujan berterusan telah dikeluarkan dan dikemas kini melibatkan beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang juga Perlis.

“Orang awam terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan yang sedang dikuatkuasakan amaran hujan lebat berterusan dinasihatkan untuk lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh amaran dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” ujar beliau.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali semalam memaklumkan sebanyak 77 buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka kepada lebih 5,300 mangsa banjir di lima negeri.

Kesemua 77 PPS tersebut adalah melibatkan 17 daerah di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menerima sebanyak 51 laporan lokasi banjir dan berlakunya kejadian cerun atau jalan runtuh, mendap serta kerosakan jambatan susulan hujan lebat tanpa henti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI