fbpx

Lima ADUN PH dibenar guna Japerun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sulaiman (kanan) pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pencapaian Setahun Kerajaan Negeri di Seri Negeri, di sini, hari ini.

MELAKA – Kerajaan negeri masih menunggu petunjuk kepemimpinan tertinggi parti berhubung corak kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Melaka.

Ini termasuk melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, meskipun belum ada isyarat jelas, kesemua ADUN PH yang membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri ini dibenarkan menggunakan Japerun bermula tahun depan.

Menurut beliau, kebenaran tersebut diberikan agar mereka dapat berkhidmat kepada masyarakat, namun perlu mengekalkan kakitangan Japerun sedia ada.

“Kita menunggu petunjuk yang hari ini adalah Kerajaan Perpaduan, saya tunggu isyarat di peringkat Persekutuan dulu dan Melaka seperti saya katakan, kita kekal.

“Seperti mana yang saya telah maklumkan, rakan-rakan Perpaduan boleh menggunakan Japerun untuk mereka berkhidmat kepada masyarakat dengan menggunakan kakitangan sedia ada. Tahun depan baru boleh masuk (gunakan),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pencapaian Setahun Kerajaan Negeri di Seri Negeri di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas berhubung kebenaran penggunaan Japerun, Chee Yee berkata, PH menyambut baik kesudian kerajaan negeri berkongsi platform untuk membolehkan mereka memberi khidmat lebih baik kepada rakyat.

Tegasnya, PH Melaka tidak pernah berbincang mengenai perkara tersebut termasuk meminta jawatan ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri sebelum ini.

“Di peringkat PH, kami tidak pernah menuntut apa-apa jawatan atau keistimewaan setakat ini dan Ketua Menteri umum perkara itu berdasarkan semangat Kerajaan Perpaduan di Persekutuan.

“Dia hendak berkongsi apa-apa kemudahan dan sebahagiannya terpulang kepada kerajaan negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI