HULU TERENGGANU – Polis Terengganu menggerakkan kesemua 2,992 pegawai dan anggotanya bagi menghadapi bencana banjir yang kini sedang melanda di seluruh negeri ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, walaupun memiliki keanggotaan mencukupi namun beliau mengakui kekangan logistik bagi menjalankan operasi memindah dan menyelamatkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seperti Besut, Kemaman dan Setiu memohon penambahan aset bagi menghadapi banjir kali ini yang agak buruk berbanding musim tengkujuh lalu.
“Buat masa ini, kita masih gunakan aset-aset sedia ada namun kita turut memohon bantuan aset daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persatuan (PSP),” katanya selepas melakukan tinjauan di PPS Kampung Kua di sini semalam.
Begitupun, Rohaimi mengakui aset tersebut masih tidak mencukupi lagi dan pihaknya juga dimaklumkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu juga telah memohon bantuan aset jentera berat daripada Putrajaya.
Mengulas mengenai kelewatan bekalan makanan di PPS, beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua pihak terlibat telah lakukan yang terbaik namun menghadapi kekangan untuk akses masuk ke lokasi bagi menghantar bekalan. – KOSMO! ONLINE