fbpx

‘Kebanyakan mangsa tidak sempat keluar khemah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOTIVASI pihak berkuasa yang menyertai operasi mencari dan menyelamat tetap tinggi walaupun berdepan cabaran tinggi di Batang Kali, Hulu Selangor pada hari ketiga semalam. – IHSAN JABATAN PENERANGAN

HULU SELANGOR – “Hiba dan sedih sangat ketika saya dukung dan bawa keluar mayat budak itu, sampai sekarang masih meremang lagi kalau cerita.”

Demikian ujar Pegawai Bomba Kanan II, Shahidi Hamidun, 37, yang telah berada di sini sejak hari pertama operasi mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Jumaat lalu.

Ketika operasi menyelamat, Shahidi tidak dapat menahan sebak apabila menjumpai mayat seorang wanita dan seorang kanak-kanak dipercayai sedang tidur bersama di dalam khemah, sebelum tragedi itu berlaku.

“Dalam operasi mencari dan menyelamat ini, petunjuk yang paling penting adalah menjum­pai khemah. Lepas itu, kita akan korek sampai jumpa mangsa.

“Sepanjang saya bertugas selama 48 jam dari hari pertama, saya menjumpai dua pasang mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, tidak pasti sama ada ibu atau kakak, yang pasti mereka memang bersama-sama di dalam khemah tersebut.

“Saya boleh bayangkan pera­saan mangsa dalam khemah itu macam mana, sebab memang tidak sempat keluar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

PIHAK bomba membawa keluar mayat mangsa yang terkorban dalam tragedi runtuhan tanah di Batang Kali, Hulu Selangor pada Jumaat lalu. – IHSAN BOMBA SELANGOR

Jelasnya yang bertugas di Ba­lai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, dia tidak dapat menahan sebak apabila mendukung mangsa kanak-kanak yang berusia lingkungan setahun itu untuk dibawa keluar dari lokasi kejadian.

“Seorang itu berusia setahun, manakala seorang lagi berusia enam tahun. Saya terus teringat anak-anak saya di rumah yang berumur lebih kurang mereka, tidak dapat bayangkan perasaan ibu bapa mangsa,” katanya.

Shahidi yang telah bertugas sejak 2005, mengakui tragedi itu merupakan yang terburuk pernah dilaluinya kerana melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

“Bagi saya letih itu biasa tetapi sebab anggota ramai, tidaklah begitu sukar. Keadaan cuaca membuatkan tekstur tanah lembut sehingga mencecah lutut.

“Pada waktu malam, kami tidur di sektor A (Hill Top) atau ‘staging area’, cuaca sangat sejuk dan ha­nya gunakan plastik sampah untuk hangatkan diri,” katanya.

Seorang lagi anggota bomba yang mahu dikenali sebagai Nizam, 27, berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya sejak bertugas pada Julai lalu.

“Kenderaan-kenderaan mang­sa semua hancur dan musnah ditimbus tanah runtuh. Tugas saya mencari dan mengorek di kawasan seksyen ‘hotspot’ di mana kebanyakan jasad dijum­pai di situ,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI