BANGKOK – Sekawan gajah yang kelaparan mengetuk pintu sebuah rumah di Kampung Prachin Buri baru-baru ini untuk mencari makanan atau minuman, lapor portal berita Thaiger semalam.
Ia berbuat demikian ketika kemarau sehingga menyebabkan haiwan-haiwan itu keluar dari kawasan hidupannya. Penduduk kampung terjaga apabila mendengar bunyi gajah-gajah liar yang berkeliaran di halaman rumah mereka bagi mencari sayur awal Sabtu lalu.
Penduduk di Nong Pradu melaporkan bahawa beberapa ekor gajah dari Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Khao Ang Rue Nai, wilayah Chachoengsao telah menemui jalan masuk ke tempat tinggal mereka dan ‘mengetuk’ pintu tiga buah rumah antara pukul 1 pagi dan 2 pagi (waktu tempatan).
Mereka berkata, gajah-gajah tersebut berkemungkinan sedang mencari makanan kerana terdapat laporan terbaru mengenai haiwan-haiwan berkenaan menyeberang ke hutan Prachin Buri untuk mencari makanan selepas kawasan perlindungan binatang tersebut dilanda kemarau.
Seorang penduduk, Chamras Sroichampa berkata, dia dimaklumkan mengenai kehadiran gajah itu oleh seekor anjing yang menyalak sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan).
Sambil memandang ke luar tingkap, dia melihat terdapat bentuk-bentuk besar bergerak dalam suasana yang gelap dan merosakkan pokok pisangnya.
Selepas gajah itu bergerak, dia mendapati haiwan-haiwan telah merosakkan pokok-pokok pisangnya dan menggali ubi keledeknya manakala dua penduduk lain melaporkan pengalaman yang sama dengan gajah-gajah mencari makanan di kebun mereka. – Agensi