fbpx

Gadis Kampus: Sorfina aktif mengajar, buat persembahan muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SORFINA sangat meminati alat muzik cello dan piano.

MINAT mendalam terhadap muzik sejak di bangku sekolah rendah telah membuatkan gadis berusia 22 tahun itu nekad menyambung pengajian dalam bidang tersebut.

Memilih jurusan kreatif di Universiti Malaya (UM), pemilik nama lengkap Nur Aina Sorfina Hishammudin bahagia dengan keputusan yang dilakukan itu.

Menurutnya, minat dalam bidang muzik terasuh sejak berusia 12 tahun dengan instrumen pertama yang dimainkan adalah drum.

“Saya mula berminat dengan bidang muzik sejak darjah enam dan alat muzik pertama yang saya belajar adalah drum.

“Saya diajar oleh bapa dan datuk yang juga merupakan pemuzik. Bapa saya adalah pemain gitar dan datuk pula pemain drum.

“Semasa berumur 15 tahun, saya mula meminati piano dan cello. Saya hanya belajar menerusi YouTube sebelum memasuki kelas muzik dan mengambil peperiksaan teori A Associated Board Of The Royal Schools Of Music (ABRSM) untuk mendapatkan sijil,” katanya.

Jelas anak tunggal kelahiran Taman Melawati, Kuala Lumpur itu, minat bermain muzik secara tidak langsung mendorong dirinya menjadi salah seorang tenaga pengajar atau guru muzik termuda.

Katanya, pada usia 17 tahun, dia sudah mula mengajar di studio Sorfina Elegant milik bapanya.

“Bergelar tenaga pengajar betul-betul mencabar, walaupun hanya secara separuh masa.

“Cabaran yang saya maksudkan adalah cara seseorang guru itu memastikan pelajar yang diajar mampu memberi fokus, rajin praktis dan sentiasa berminat dengan muzik.

“Justeru, pelbagai silibus dan kaedah perlu difikirkan bagi memastikan pelajar sentiasa aktif dan menunjukkan minat serta potensi dalam muzik,” katanya yang kini sudah lima tahun bergelar guru piano.

SORFINA (baris tengah, lima dari kiri) bergambar kenangan bersama para pelajar dan tenaga pengajar di studio Sorfina Elegant, Ampang, Selangor.

Berkongsi kejayaan manis dalam bidang diceburi, Nur Aina Sorfina memberitahu, dia pernah dinobatkan sebagai naib juara pertandingan Battle of The Band kendalian Majlis Perbandaran Ampang Jaya bersama kumpulannya.

Tidak setakat itu, gadis yang mesra disapa Sorfina itu pernah membuat persembahan secara solo pada Malam Gala Night Dinner Army Wife, selain kerap melakukan persembahan di sekolah dalam apa jua acara.

“Paling membanggakan dan tidak boleh saya lupakan apabila berpeluang membuat persembahan orkestra dengan bermain cello ketika istiadat konvokesyen UM baru-baru ini.

“Saya juga aktif membuat gubahan lagu untuk pelanggan di studio. Banyak genre lagu yang pernah saya ubah merangkumi rock orkestra, dangdut dan reggae. Semuanya boleh ditonton di saluran YouTube Sorfina Elegant Music.

Ditebak mengenai cabaran membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya sebagai guru muzik, Sorfina berpendapat, pengurusan masa yang betul perlu ada.

Ujarnya, dia melakukan perkara tersebut sejak bergelar seorang mahasiswa.

“Seperti yang kita tahu, muzik melibatkan teori dan praktikal. Jadi, saya perlu kuasai kedua-duanya (pelajaran dan kerjaya) kerana ia saling berkaitan.

“Jadi kita perlu bijak mengatur masa dalam menyusun jadual dari segi praktis atau belajar. Saya sendiri terpaksa menolak untuk menginap di kolej kediaman dan berulang-alik ke Ampang setiap hari kerana komitmen untuk mengajar pada sebelah malam,” katanya.

Sebelum menutup bicara, Sorfina yang juga memiliki bakat menari berkata, dia bercita-cita menjadi pensyarah dan komposer muzik.

“Saya juga merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang sama di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI