PETALING JAYA – Setiap usahawan yang sudah berjaya memiliki empayar perniagaannya pasti akan membuat perancangan dari fasa ke fasa bagi memenuhi setiap segmen, cabang, hiliran dan huluan dalam bisnesnya itu.
Fasa pengembangan tersebut lebih mudah direalisasikan jika mendapat sokongan berbentuk dana dan bantuan daripada rakan niaga dan para pelabur.
Itulah yang sedang diusahakan pengasas Dermalene Sdn. Bhd., Dr. Alina Hasni, 37, yang mahu menjadikan Kumpulan tersebut berdiri kukuh sebagai pemain utama dalam bidang rawatan kulit selain bercadang membuka hospital mini dan seterusnya memiliki sebuah Institut Kulit Negara pada masa depan.
Melaluinya, Dermalene bakal menawarkan perkhidmatan berkaitan kulit yang lebih bersepadu, berkualiti dan dapat memenuhi setiap permasalahan yang dihadapi oleh pelanggan.
Alina dengan sokongan daripada suaminya yang juga pengarah dan Ketua Pegawai Operasi Dermalene, Muhammad Zarif Kamardin, 37, mula melangkah dalam bidang tersebut bermodalkan RM200,000 untuk membuka sebuah klinik di Shah Alam.
Dermalene Skin Centre pada tahun 2016 mula beroperasi hanya sebagai klinik dan seterusnya dipertingkatkan kemudahan menjadi sebuah rangkaian pusat rawatan kulit.
Ia menawarkan perkhidmatan berkualiti bagi kumpulan sasaran tersendiri yang daripada bayi hingga golongan emas .
Pusat rawatannya juga telah mendapat sambutan baik daripada kumpulan individu berkerjaya yang menghadapi masalah kulit tetapi tiada masa banyak untuk berkunjung ke pusat spa atau pusat kecantikan lain yang perlu mengambil masa berjam-jam dalam temu janji yang ditetapkan.
Melalui Dermalene, pelanggannya bakal mendapatkan hasil rawatan terbaik dengan menggunakan teknologi tinggi dan produk yang diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi tanpa memberi kesan sampingan untuk jangka masa panjang.
Tidak hairanlah jika kos rawatan kulit pada harga minimum kira-kira RM600 hingga RM700 untuk sekali rawatan itu memberi kepuasan terbaik kepada pelanggan.
Cawangan keduanya dibuka di Bangi pada tahun 2020 seterusnya berkembang sehingga memiliki tujuh buah klinik di beberapa lokasi strategik di Lembah Klang.
“Menjelang tahun 2030, kami bakal memiliki 43 pusat rawatan dan 15 buah klinik,” katanya pada majlis pembukaan cawangan Dermalene terbaharu di Kota Damansara baru-baru ini.
Sejak beroperasi enam tahun lalu, Alina menjelaskan, pusat rawatannya itu telah berjaya merawat lebih daripada 20,000 pelanggan yang mempunyai pelbagai masalah kulit.
Sasarannya kini adalah untuk merawat sehingga satu juta wajah menjelang 10 tahun akan datang.
Mengimbau perjalanan kerjaya wanita yang memiliki ijazah perubatan dari Universiti Perubatan Moscow , Rusia dan pernah melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam bidang Klinikal Sains Dermatologi di Universiti Cardiff, United Kingdom (UK) itu memulakan kerjayanya di Malaysia dengan berkhidmat di klinik kesihatan dan beberapa hospital kerajaan.
“Lebih kurang empat tahun saya menjadi doktor perubatan di pelbagai jabatan termasuk ditukarkan ke hospital di Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Fasa ulang-alik dari rumah ke Port Dickson setiap hari dengan menghabiskan masa selama kira-kira dua jam di dalam kereta itu telah mengubah pemikiran saya untuk menjadi usahawan,” ujarnya.
Wanita ini sebenarnya tidak sukar untuk memulakan bisnesnya sendiri kerana Alina sudah dikenali ramai di media sosial kerana suka berkongsi maklumat dan ilmu tentang bidang kecantikan dan kesihatan kulit.
“Semasa di UK pada tahun 2015, saya buka halaman Facebook atas nama Dermalene untuk perkongsian maklumat berkaitan kulit termasuk proses terhasilnya jerawat dan cara mengawalnya.
“Akhirnya nama Dermalene itu saya pahatkan atas nama klinik dan produk apabila menceburi bidang perniagaan.
“Tumpuan kini adalah untuk membantu merawat masalah kulit muka seperti jerawat, jeragat, parut dan ekzema,” ujarnya.
Tambah Alina, antara rawatan yang mendapat maklum balas terbaik daripada pengunjung Dermalene adalah Hydrafacial yang memfokuskan kepada masalah kulit kering dan bermasalah.
Rawatan Hydrafacial sudah terkenal di peringkat global dan telah diperkenalkan di pasaran sejak lebih 15 tahun lalu dengan memiliki testimoni terbaik daripada para pelanggannya. -KOSMO! ONLINE