fbpx

Dahsyatnya pencuri sampai lantai pun dikebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hairul melihat lantai rumahnya yang hilang di Perumahan Banjir Sepayang, Rompin.

ROMPIN – Penduduk di Perumahan Banjir Sepayang di sini me­luahkan rasa kesal apabila bukan sahaja duit habis untuk membaiki rumah akibat bah, malah sebahagian besar barangan berharga termasuk lantai papan kediaman mereka lesap dikebas pencuri.

Kejadian yang semakin menjadi-jadi itu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk yang terpaksa berputih mata apabila mendapati rumah mereka diceroboh ketika datang me­njenguk pada hujung minggu.

Seorang penduduk, Hairul Asmawi, 36, berkata, kejadian itu menyebabkan mereka berasa tidak selamat dan resah setiap kali keluar meninggalkan rumah kerana bimbang dimasuki pencuri.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati, kesemua lantai papan rumah ibunya hilang termasuk dinding sudah dikebas penyamun.

“Ketika datang ke sini bersama ibu untuk membersihkan kawasan luar rumah, saya terkejut apabila mendapati lantai sudah hilang, manakala dinding papan telah dicabut.

“Apabila mengadu kepada jiran, mereka juga mengalami nasib serupa apabila rumah yang tidak didiami juga menjadi sasaran pencuri. Saya tak sangka sampai papan lantai pun ditanggalkan, memang dahsyat pencuri di sini,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Hairul, ekoran kejadian itu, dia terpaksa mengeluarkan modal bagi membeli lantai dan membaiki semula rumah yang telah dirosakkan itu dengan harapan ia tidak hilang lagi.

Seorang lagi penduduk, Azrul Ridhuan Abdul Rahman, 36, berkata, sudah dua kali kejadian kecurian berlaku di rumahnya dengan yang terbaharu melibatkan kejadian pecah rumah.

Azrul Ridhuan menunjukkan tingkap rumahnya yang dipotong dalam kejadian pecah rumah di Perumahan Banjir Sepayang, Rompin baru-baru ini.

Dia yang bekerja di Bentong berkata, dalam kejadian terbaharu, besi tingkap dipotong dan pintu diumpil oleh individu tidak bertanggungjawab yang meme­cah masuk rumah.

“Apabila balik baru-baru ini saya terkejut apabila mendapati rumah bersepah serta pintu bilik diumpil. Apabila saya memeriksa sekitar rumah, besi tingkap didapati telah dipotong.

“Banyak barang yang hilang seperti gergaji rantai dan peralatan memancing, malah duit siling pun habis lesap dicuri. Di kampung ini memang tidak selamat lagi untuk tinggalkan rumah,” katanya.

Tambahnya sebelum ini dia turut kehilangan sarang kelulut yang diletakkan di kawasan halaman rumah kerana dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.

Ujarnya, beliau telah membuat laporan polis dan berharap individu terbabit dapat ditahan bagi membolehkan penduduk kampung kembali hidup dalam keadaan aman.

Seorang lagi penduduk Hashim Buang, 35, berkata, sememangnya penduduk sentiasa berasa bimbang terutama sekali apabila meninggalkan rumah untuk bekerja atau ada urusan lain.

“Memang kalau keluar terutamanya bermalam di luar sememangnya risau barang-barang ditinggalkan akan dicuri, apa sahaja mereka curi asalkan boleh, kayu lantai pun kena curi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata, pihak polis memandang serius kejadian curi dan pecah rumah berkenaan dan telah membuka kertas siasatan.

Katanya, siasatan giat dilakukan dan beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat agar tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI