PETALING JAYA – Apabila sebut sahaja perkataan ‘bil’, ia sudah pasti menjadi satu kewajipan dan komitmen yang perlu dibayar demi kelangsungan penggunaan sesuatu perkhidmatan.
Ini juga termasuk pembayaran bil pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd.
Pembayaran bil pembetungan IWK adalah satu kewajipan bagi pengguna di negara ini bertujuan untuk memastikan perkhidmatan pembetungan dapat disediakan secara berterusan dan pengguna mendapat perkhidmatan yang cekap.
Sebenarnya, sistem pembetungan negara telah melalui pelbagai fasa kemodenan tetapi ramai yang mungkin tidak sedar ke mana perginya air kumbahan selepas mengepam tandas.
Air kumbahan disalirkan ke dalam tangki septik atau mengalir terus ke rangkaian paip pembetungan awam, sebelum dirawat di loji rawatan kumbahan.
Seterusnya, air kumbahan ini akan ditapis dan dirawat sebelum dilepaskan semula ke sungai atau sumber air.
Sebagai syarikat pembetungan nasional, IWK bertanggungjawab membangun dan menyelenggara sistem pembetungan yang moden dan efisien di semua negeri, kecuali Sabah dan Sarawak.
Melalui pengalaman lebih daripada 28 tahun, IWK telah membuktikan bahawa syarikat ini mampu menguruskan sistem pembetungan negara dengan cekap.
Tahukah anda, IWK sebenarnya menguruskan sejumlah lima bilion liter air sisa kumbahan setiap hari.
Jumlah ini bersamaan dengan jumlah air di dalam kira-kira 2,000 buah kolam renang bersaiz Olimpik.
Sementara itu, bukanlah sesuatu yang mudah untuk menguruskan kumbahan bagi lebih daripada 26.5 juta orang dengan jumlah saliran paip pembentungan bawah tanah sepanjang 20,000 kilometer.
Menurut Laporan Kelestarian (Sustainability Report) 2021 IWK, IWK mengurus kira-kira 7,273 loji rawatan kumbahan yang merawat air kumbahan dengan menyingkirkan sisa berbahaya sebelum melepaskannya ke dalam kitaran air.
Hakikatnya, loji-loji rawatan kumbahan IWK beroperasi tanpa henti 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.
Proses rawatan kumbahan ini sangat penting demi memastikan kesihatan awam serta pemeliharaan alam sekitar terus terjaga.
Semua ini tidak dapat dilakukan dengan cekap jika IWK tidak turut sama mengadaptasikan teknologi digital yang moden dalam operasi harian bagi menjalankan perkhidmatan mereka.
Pada masa yang sama, pelanggan IWK juga telah mula beralih ke arah pendigitalan selaras dengan gaya hidup masyarakat kini, yang sentiasa inginkan sesuatu yang cepat dan boleh dipercayai.
Sehubungan itu, IWK terus mengajak pelanggannya untuk mendaftar dengan IWK e-Bil bagi memudahkan pelanggan menerima bil pembetungan melalui e-mel, yang lebih mudah, cepat dan mesra alam.
Secara tidak langsung, pelanggan IWK juga menjalankan peranan masing-masing dalam memelihara alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan kertas.
Malah, melalui penggunaan aplikasi mudah alih IWK, pelanggan IWK juga dapat menyemak dan membayar bil pembetungan mereka secara real-time di mana sahaja mereka berada.
Dengan adanya kedua-dua kemudahan tersebut, pelanggan IWK tidak akan terlepas pandang lagi untuk membayar bil pembetungan mereka.
Selain itu, aplikasi IWK juga boleh diakses melalui telefon bimbit dan tablet di mana sahaja mereka berada dan pada bila-bila masa.
Bagi pengguna yang ingin menggunakan aplikasi itu, anda juga boleh mendaftar IWK e-Bil sekarang dengan melayari www.iwk.com.my/e-bill dan muat turun aplikasi IWK di Google Playstore, Apple Store atau Huawei Apps Gallery. -KOSMO! ONLINE