HULU TERENGGANU – Sekurang-kurangnya enam pusat pemindahan sementara(PPS) yang menjadi tempat perlindungan mangsa banjir daerah ini turut ditenggelami banjir.
Antara PPS terlibat ialah di Kampung Lubuk Periuk, Kampung Paya Besar, Kampung Kepah, Kampung Bukit Tokbat, Kampung Padang Setar dan Kampung Pengkalan Ajal di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Hanafi Mohd. berkata, sebahagian mangsa banjir di PPS yang terjejas itu terpaksa berpindah ke tingkat atas premis berkenaan.
Beliau berkata, sebahagian lagi mangsa pula telah dipindahkan ke PPS baharu yang lebih selamat.
“PPS di Lubuk Periuk, Kepah dan Padang Setar antara yang telah dinaiki sejak malam tadi manakala, PPS Paya Besar dan Bukit Tokbat pagi tadi.
“Data terkini sedang dikemaskini. Sebahagian mangsa berpindah sendiri ke PPS baharu yang lebih selamat,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang di sini hari ini.
Mohd. Hanafi berkata, operasi pemindahan 89 mangsa PPS Paya Besar ke Sekolah Kebangsaan Kuala Berang telah dilakukan sebentar tadi.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 50 PPS telah dibuka melibatkan seramai 5,726 mangsa daripada 1,799 keluarga di daerah ini setakat ini. – KOSMO! ONLINE