PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir serta hujan lebat di dua negeri hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya berkata, amaran itu melibatkan negeri di Sarawak dan Sabah.
“Ribut Petir dan hujan lebat berlaku di Sarawak melibatkan daerah Kuching (Bau dan Kuching), Sibu (Sibu dan Selangau), Kapit (Song), Bintulu (Tatau) dan Miri (Beluru dan Marudi).
“Sabah pula hanya melibatkan sebuah daerah di Kudat,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan limpahan air sungai di Pantai Timur melibatkan Pahang Kelantan dan Terengganu terus meningkat kepada 23 sungai berbanding 18 sungai pada pagi tadi.
Di Pahang masih kekal dengan paras bahaya di Sungai Keratong dengan bacaan paras air 11.72 meter (m).
Di Kelantan pula di Jambatan Melor pada paras (9.66 m), Sungai Lanas (29.71 m), Sungai Lebir (39.99 m), Rantau Panjang, Pasir Mas (10.73 m), Kampung Jambu (3.01m), Jambatan Jerimbong (55.96 m), manakala Sungai Golok, Rantau Panjang dan Tanah Merah masing-masing (10.78 m) dan (25 m).
“Seterusnya, Terengganu di Sungai Dungun dengan bacaan paras bahaya iaitu 13.61 m, Sungai Kemanan di Jambatan Air Putih dan Rumah Pam Paya Paman masing-masing (14.5 m) dan (4.53 m), Sungai Chalok (9.6 m), Sungai Tebak (19.15 m), Sungai Marang (3.98 m).
“Turut menerima amaran bahaya di Terengganu pada paras 14.77 m di Sungai Nerus, Sungai Setiu (9.78m), Sungai Besut (10.27 m), Sungai Telemong (21.53 m), Sungai Tumpat (21.53 m) dan Sungai Nerus di Kampung Langkap (23.08 m),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE