fbpx

Ajaran sesat Millah Abraham kembali hangat diperkatakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar antara perkongsian Caprice di Instagram tentang ajaran sesat Millah Abraham yang kini semakin banyak didedahkan.

PETALING JAYA – Kumpulan ajaran sesat Millah Abraham yang dikesan kewujudannya beberapa tahun lalu, kini kembali hangat diperkatakan.

Beberapa pengikut mendedahkan bagaimana mereka boleh terjebak dengan kumpulan berkenaan.

Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 34, turut memuat naik tangkap layar individu yang pernah menyertai kumpulan berkenaan.

Caprice melalui Instagram juga berkongsi video mengenai seorang lelaki yang dikecewakan wanita dipercayai pengikut Millah Abraham.

Lelaki itu menerusi video tersebut turut dilihat memegang dan menunjukkan buku yang digunakan dalam ajaran sesat tersebut.

Menerusi perkongsian Caprice itu, salah seorang pengikutnya mendakwa pernah mengikuti satu kelas di atas talian, menzahirkan kebimbangan jika kumpulan tersebut kembali dihidupkan.

Ia berikutan menurutnya, pengisian kelas tersebut sememangnya berlandaskan ayat al-Quran, namun rasa sangsi timbul apabila ia dikaitkan dengan Millah Abraham.

“Kaitkan ada kebangkitan Nabi seterusnya dakwa apa yang kita baca al-Quran selama ni ada maksud, dan maksud tu berkaitan Millah Abraham.

“Nak terangkan pun susah. Tapi isinya ialah kandungan tu, nak kita percaya ada kebangkitan Millah Abraham in 2024, ada Rasul seterusnya. Mereka kata kerajaan sekarang ni kerajaan setan,” kongsinya.

Tambahnya, para pengikut ajaran ini juga terdiri dalam kalangan mereka golongan berpendidikan dan profesional.

Sementara itu, @dyaismyname turut berkongsi pengalaman apabila salah seorang pelajarnya pernah diselamatkan daripada ajaran ini.

“Millah Abraham ni agak aktif kembali sekitar 2014 ke 2015. Tak tau sejak bila wujud. Saya ada seorang pelajar Alhamdullilah kami berjaya selamatkan dia. Rupanya seluruh ahli keluarga ikut ajaran ni.

“Allahuakbar. Kesihan anak-anak. Ajaran yang ikut sebiji macam zaman Nabi berhijrah untuk sebarkan Islam dan sebagainya. Timeline seakan sama dengan penyebaran Islam tapi sebenarnya inti pati ajaran tu menyimpang. Minta dijauhkan,” katanya.

Sementara itu seorang lagi netizen meminta lebih banyak perkongsian tentang ajaran ini dibuat berikutan dia juga turut ‘didekati’.

“Beritahu saya lebih lanjut tentang Millah Abraham, ada orang yang ‘approach’ pasal ni,” katanya yang mengundang lebih banyak pendedahan dan perkongsian daripada netizen yang lain.

Kosmo! sebelum ini pernah melaporkan seramai 58 individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, terhadap pertuduhan cuba menjelaskan kepercayaan agama yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu ajaran Millah Ibrahim @Abraham dan mengajar ajaran itu tanpa tauliah.

Mereka terdiri daripada 12 wanita dan 46 lelaki termasuk pelajar dan penganggur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ketika itu di bacakan di hadapan Hakim Syarie Abdul Karim Wahab.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh, masing-masing diikat jamin antara RM4,000 dengan seorang penjamin dan RM5,000 dengan dua penjamin selain perlu melapor diri di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dua minggu sekali serta perlu mendapat kebenaran jika mahu ke luar negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI