GUA MUSANG – Hujan berterusan selama lebih 24 jam menyebabkan jambatan besi Kampung Kerinting merentasi Sungai Ketil menghubungkan Bandar Lama di sini tenggelam hari ini.
Mengikut laporan laman Facebook, Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang, jalan berkenaan ditutup sejak pukul 9 pagi tadi apabila dinaiki air 0.2 meter.
Seorang pengguna jalan itu, M. Selvan, 45, hujan berterusan sejak semalam menyebabkan paras air Sungai Ketil meningkat.
Katanya, air sungai berkenaan melimpah naik ke atas jambatan hingga menghalang kenderaan untuk melaluinya.
“Kejadian air sungai melimpahi tebing itu kerap berlaku apabila hujan lebat. Saya yang dalam perjalanan dari rumah di Kampung Kundur untuk ke bandar Gua Musang terhalang dengan limpahan air sungai itu. Saya terpaksa berpatah balik dan melalui jalan di Bandar Baru,” katanya.
Seorang penduduk Kampung Mohamad Ismail, 58, berkata, jambatan itu mudah tenggelam apabila hujan lebat berterusan.
“Kita menjangkakan jambatan ini terus tenggelam sekiranya cuaca hujan masih berterusan.
“Penduduk sentiasa berdepan masalah apabila paras air Sungai Ketil meningkat sehingga menyebabkan jambatan tenggelam kerana kedudukannya yang rendah,” katanya.
Sementara itu, menurut laman web rasmi Public Info Banjir Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, tiga sungai di daerah ini dilaporkan masih berada pada paras normal meskipun hujan berterusan.
Sungai Galas di Kampung Pulai menunjukkan bacaan 105.79 meter, Sungai Galas (Kampung Lembaga) merekodkan bacaan 83.01 meter dan Sungai Lebir (Kuala Koh) dengan 65.54 meter. – KOSMO! ONLINE