fbpx

11 hari tayang, Mechamato Movie kutip RM18.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mechamato turut mencatatkan seramai 1.28 juta kehadiran penonton sejak singgah di 150 pawagam seluruh negara bermula 8 Disember lalu.

PETALING JAYA – Filem animasi Mechamato Movie terus cemerlang apabila meraih kutipan tiket lebih RM18.3 juta dalam tempoh 11 hari tayangan.

Naskah terbitan Animonsta Studios tersebut turut mencatatkan seramai 1.28 juta kehadiran penonton sejak singgah di 150 pawagam seluruh negara bermula 8 Disember lalu.

Berbesar hari dengan sambutan yang diterima, Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abd Razak menzahirkan rasa terima kasih kepada penonton yang menaruh kepercayaan terhadap animasi tempatan.

“Kami sangat berterima kasih pada semua 1.28 juta penonton yang sanggup memperuntukan masa dan melabur dengan menonton Mechamato Movie.

“Pihak kami percaya masih ramai lagi yang ingin mengikuti filem animasi sarat kejutan ini bersama insan tersayang serta rakan-rakan.

“Cuti sekolah masih ada dalam tempoh dua minggu malah kami menyasarkan sekitar 2.5 juta penonton lagi untuk tempoh keseluruhan.

“Kepada yang belum menonton, mari rasai pengalaman menyeronokkan bersorak dan tepuk tangan dalam pawagam,” katanya.

Mechamato Movie adalah sebuah filem komedi aksi animasi komputer Malaysia 2022 yang juga prekuel daripada siri animasi Mechamato: The Animated Series.

Animasi berkenaan berkisar kejadian sebuah kapal angkasa misteri terhempas di bumi yang menemukan seorang pemuda bernama Amato dengan robot berkuasa bergelar MechaBot.

Diangkat menjadi tuan kepada MechaBot, Amato kini boleh menggunakan kuasa ajaib mampu menukarkan objek biasa kepada peralatan canggih. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI