fbpx

Tapak perkhemahan di Pulau Pinang diarah tutup operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Semua pemilik tapak perkhemahan sama ada yang berdaftar atau tidak dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang diminta akur arahan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar menutup operasi selama tujuh hari.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tapak perkhemahan yang dikenal pasti berisiko tinggi kerana terletak di kawasan cerun bukit iaitu di Suling Hill, di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Taman Bandaraya, di bahagian Timur Laut telah diarahkan ditutup oleh majlis bandaraya masing-masing, semalam.

”Memang banyak di seluruh negara pelanggaran undang-undang kerana memulakan operasi tanpa kelulusan dalam apa jenis kegiatan termasuk tapak perkhemahan juga.

“Kategori ini (tapak perkhemahan) tidak dikesan banyak berlaku di Pulau Pinang, ada satu dua sahaja jadi mereka perlu patuh dengan arahan KPKT untuk menutup operasi,” katanya selepas menghadiri acara Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride edisi keempat, di Dataran Queensbay, malam tadi.

Lebih 3,000 peserta telah menyertai kayuhan itu yang melibatkan jarak kayuhan sepanjang 73 kilometer (KM) yang melibatkan laluan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di kedua-dua hala dan jalan sekitarnya.

Turut hadir menyempurnakan acara pelepasan acara berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

Sebelum ini, KPKT mengeluarkan arahan kepada 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengosongkan tapak perkemahan berisiko tinggi selama tujuh hari, berkuat kuasa 16 Disember bagi mengelak kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland berulang.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri mempunyai garis panduan melibatkan pembangunan lereng bukit kerana Pulau Pinang pernah ditimpa bencana tanah runtuh yang melibatkan kehilangan nyawa.

”Sebarang pembangunan lereng bukit, sama ada membina kediaman atau apa juga pembangunan tertakluk kepada garis panduan termasuk juga tapak perkhemahan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kawasan pelancongan di kawasan bukit seperti di Bukit Bendera, Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera (PBBPP) berkata, pemantauan di kawasan itu akan dilakukan oleh pihak PBBPP.

“Kawasan Bukit Bendera memang ada berlaku tanah runtuh, boleh dikatakan berlaku beberapa kejadian setiap tahun.

”Pemantauan di kawasan ini dilakukan oleh PBBPP, jika berlaku tanah runtuh ia akan dibaiki oleh PBBPP, kita juga ada satu tapak perkhemahan di banglo yang dimiliki kerajaan negeri di Bukit Bendera, ia juga diarahkan tutup sementara,” katanya.

Sementara itu, katanya, di Pulau Pinang turut terdapat satu tapak perkhemahan glamping yang mempunyai kelulusan MBPP.

”MBPP pernah meluluskan pembangunan di Builder Valley, tapak ini ada kelulusan perancangan dan ada kelulusan pembangunan kerana mereka telah melakukan proses permohonan perlingkungan semula kegunaan tanah dan mematuhi syarat geo teknikal,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI