SUNGAI BULOH – Sebuah keluarga masih belum berputus asa untuk mencari empat ahli keluarga mereka yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali Hulu Selangor, kelmarin.
Ia susulan selepas waris dari Machap, Melaka itu dimaklumkan bahawa baki tiga mayat yang berada di Hospital Sungai Buloh di sini adalah bukan ahli keluarga mereka berikutan gagal memperoleh padanan menerusi data profil asid deoksiribonukleik (DNA).
Perkara itu disampaikan oleh kenalan waris iaitu bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua yang turut hadir untuk membantu dan memberikan sokongan moral.
“Mereka baru sampai hari ini dari Kampung Machap Baru untuk buat pengecaman, namun ia ditolak kerana keputusan DNA tidak padan.
“Jadi, mereka mungkin akan pergi ke tempat kejadian untuk membuat upacara keagamaan (sembahyang) supaya dapat memudahkan operasi mengesan empat ahli keluarga yang hilang.
“Mangsa adalah suami dan isteri termasuk dua orang anak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik di sini hari ini.
Sementara itu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin mengesahkan baki tiga mayat lagi telah dituntut oleh sebuah keluarga dari Kampung Machap Umboo.
Difahamkan, tiga mayat itu merupakan dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak.
“Ketika ini, tiga mayat yang berada di sini sudah berjaya dibuat pengecaman, namun seorang lagi mangsa masih belum ditemui iaitu seorang kanak-kanak.
“Justeru, kedua-dua keluarga dari Machap ini masih menantikan lima lagi mangsa dan mereka merupakan sahabat,” ujarnya.
Sehingga kini, kesemua 24 mayat yang telah terkorban dalam kejadian tanah runtuh Batang Kali telah selesai menjalani bedah siasat dan 21 daripadanya telah dikenal pasti. – KOSMO! ONLINE