SUNGAI BULOH – Seorang waris mangsa meraung kesedihan selepas membuat pengecaman empat ahli keluarganya di Hospital Sungai Buloh di sini, yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, kelmarin.
Beh Su Lee, 59, yang merupakan ibu mangsa, kehilangan anak perempuannya dan menantu termasuk dua orang cucu iaitu seorang lelaki dan perempuan.
Difahamkan, anaknya bersama suami berusia dalam lingkungan 30-an serta dua cucunya berusia enam dan satu tahun itu meluangkan masa bercuti di Father’s Organic Farm sebelum ditimpa bencana tanah runtuh sehingga mengorbankan nyawa.
“Hari ini saya datang untuk buat tuntutan mayat. Semalam sudah buat tiga pengecaman dan hari ini lagi satu.
“Syukur, semua sudah dijumpai dan sekarang akan pergi (ke tempat pengebumian),” katanya sebak ketika ditemui selepas keluar dari Jabatan Forensik di sini, hari ini.
Dalam pada itu, mayat empat ahli keluarga Su Lee turut dilihat keluar meninggalkan pekarangan Hospital Sungai Buloh lima minit lebih awal sebelumnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebanyak 15 daripada 24 mayat yang berada di Hospital Sungai Buloh di sini telah dikembalikan kepada waris serta ahli keluarga terdekat.
Setakat ini, Tinjaun Kosmo! di sini mendapati sebanyak enam mayat sudah dibawa keluar sejak dari pagi tadi menjadikan baki, tiga jenazah yang masih belum dituntut. – KOSMO! ONLINE