SUNGAI BULOH – Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh apabila waris-waris mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm tiba membuat pengecaman mayat.
Ramai waris yang datang dalam keadaan teresak-esak dan ada yang dipapah ahli keluarga.
Seorang warga emas kelihatan longlai ketika memasuki ruangan Jabatan Forensik sehingga terpaksa dipimpin oleh dua orang wanita yang dipercayai isteri dan anaknya.
Lebih 10 anggota keluarga dan waris mangsa sudah berada di hospital sejak pukul 9 pagi dan pengecaman mayat masih dilakukan setakat petang semalam.
Pengecaman dibuat dan mayat tidak dapat dicam waris akan dilakukan prosedur lain.
Proses bedah siasat juga dijalankan bagi mengenal pasti identiti mayat yang dijumpai disebabkan tiada pengenalan diri.
Jasad mangsa tanah runtuh itu sukar dikenal pasti disebabkan keadaan mayat yang ditemui penuh dengan lumpur.
Kata sumber di Jabatan Forensik, keadaan mayat sempurna, namun diselaputi lumpur dan ada kesan luka berkemungkinan kesan dihempap pokok atau batu ketika kejadian.
Daripada 24 mayat yang dibawa ke Hospital Sungai Buloh, tujuh adalah kanak-kanak, 12 wanita dan lima lelaki.
Dalam pada itu, sukarelawan Yayasan Buddhist Tzu Chi, Tan Chee Wei, 50, ketika ditemui di situ berkata, ramai waris berharap mangsa tanah runtuh yang melibatkan keluarga mereka ditemui selamat.
“Memang mereka (waris mangsa) masih lagi harap (selamat) walaupun ada di antaranya sudah memberikan data asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti mangsa,” katanya.
“Peranan kami untuk beri sokongan kepada waris, sediakan makanan serta menemani mereka untuk jalankan beberapa prosedur yang diminta.
“Sebab kami rasakan ketika ini waris ini sangat memerlukan sokongan mental kerana untuk bantuan kaunseling pihak hospital sudah sediakan,” tambahnya.
Ujarnya, seramai 50 sukarelawan ditempatkan di beberapa lokasi sejak semalam, termasuk di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang dan Balai Polis Ulu Yam Bahru.
“Kami akan berada di tempat ini sehingga selesai, terdapat tiga syif iaitu dari awal pagi sehingga tengah malam,” tambahnya.