HULU SELANGOR – Operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) menemui jalan buntu apabila sembilan mangsa yang hilang dalam tragedi tanah runtuh di sebuah tapak perkhemahan, di Jalan Batang Kali- Genting Highlands masih gagal ditemukan.
Perkembangan tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah, sekaligus menjadikan mangsa maut kekal 24 orang daripada keseluruhan mangsa yang terlibat iaitu 94 orang.
“Operasi yang giat dilakukan sejak 8 pagi sehingga 6.30 petang tadi, tidak dapat mengesan sebarang mangsa yang masih belum ditemui.
“Cumanya ada nombor kenderaan milik mangsa telah diambil dan akan disemak untuk mencari identiti mangsa,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya lagi, sehingga kini pihaknya telah menyerahkan 21 orang mangsa hasil daripada pengecaman waris dan pengesanan cap jari.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, usaha pencarian masih diteruskan walaupun dihentikan sementara pada pukul 4.30 petang tadi berikutan hujan lebat.
Beliau berkata, operasi malam ini akan diteruskan sehingga pukul 4 pagi dan akan bersambung semula pada pukul 8 pagi untuk memberi laluan kepada tenaga kerja berehat.
“Operasi kita bergantung pada cuaca dan keutamaan keselamatan para petugas.
Tahap risiko pergerakan tanah berdasarkan keadaan hujan yang turun serta tanah yang lembut menyukarkan pergerakan anggota penyelamat.
“Tetapi setakat pagi tadi, kita tidak mengesan pergerakan tanah yang berlaku, dan menyambung semula operasi di sektor yang telah ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, hasil bantuan alat pengesan jenis ‘Ground Penegtrating Radae’ (GPR) yang disumbangkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah membantu pihaknya untuk kecilkan skop pencarian.
Jelasnya, alat GPR itu telah beberapa kali mengesan tanda-tanda kemungkinan terdapat mangsa di dalam tanah.
“GPR telah kesan beberapa tanda-tanda kemungkinan kedudukan mangsa, namun apabila digali tidak menemui apa-apa.
“Walau bagaimanapun, GPR akan terus digunakan sehingga esok untuk mengenalpasti lain-lain lokasi di sektor A, B dan C, yang telah dikecilkan radius pencarian,” katanya.
Selain GPR, unit anjing pengesan (K9) dan lapan unit jentera pengorek, Eskavator, turut membantu usaha pencarian mangsa yang berkemungkinan terbenam tiga kaki di dalam tanah. – KOSMO! ONLINE