fbpx

Tanah runtuh: 8 unit eskavator bantu perkuatkan operasi SAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga anggota bomba meninjau keadaan lokasi tanah runtuh pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highland. Gambar: MUHAMAD IQBAL ROSLI.

HULU SELANGOR- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa runtuhan tanah di tiga tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland, diperkuatkan lagi dengan lapan unit jentera pengorek, Eskavator, pada hari ketiga sejak tragedi, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, kesemua jentera itu dipergiatkan berdasarkan lokasi mangsa terakhir yang dijumpai pada sebelah petang semalam.

Jelasnya, sebarang penilaian tambahan eskavator akan dibuat dan pihaknya akan memohon untuk digerakkan ke lokasi sekiranya ada keperluan.

“Proses penggalian menggunakan eskavator ini ada beberapa peringkat. Peringkat awal, (jentera itu) digunakan untuk alihkan tanah runtuhan sedalam tiga hingga empat kaki.

“Selepas itu buat pemeriksaan melalui unit anjing pengesan (K9) atau secara manual. Kita akan menggali secara perlahan untuk mengelakkan mayat terkena ‘bucket’.

“Proses penggalian disertai pasukan penyelamat yang ditempatkan disekeliling penggalian untuk beri panduan dan memerhatikan pergerakan ‘bucket’,”katanya.

Tambahnya, operasi SAR juga mendapat bantuan dari pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk mengesan mayat dalam tanah.

Jelasnya, kedua-dua pasukan itu ditempatkan di Sektor A (Hillview) dan Sektor C (Riverside) untuk bantu kesan lokasi mayat dan ukur ketebalan tanah runtuhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI