fbpx

Russia tidak akan guna senjata biologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 20 Mac 2003 menunjukkan askar AS menyertai latihan perang Nuklear, Biologi dan Kimia di Kem Udairi, utara Kuwait. -- AFP

GENEVA, Switzerland – Russia tidak akan menggunakan senjata biologi, kata seorang diplomat kanan Moscow kelmarin berikutan kebimbangan pencerobohan Kremlin ke atas Ukraine meningkatkan risiko penggunaan senjata pemusnah besar-besaran.

Timbalan ketua Jabatan Kawalan Senjata Kementerian Luar Russia, Konstantin Vorontsov menegaskan bahawa Russia menggunakan senjata biologi ‘tidak menjadi isu sama sekali’.

Menurutnya kepada pemberita, Moscow komited sepenuhnya kepada obligasi di bawah perjanjian antarabangsa yang mengharamkan penggunaan senjata kimia, biologi dan agen bakteria.

“Kami tidak mempunyai sebarang program dalam ruang lingkup tentera  berkaitan dengan senjata biologi

“Semua aktiviti kami dalam ruang lingkup biologi adalah sepenuhnya untuk tujuan keamanan dan tidak lebih dari itu,” tegas Vorontsov.

Beliau berkata demikian dalam satu acara berasingan semasa persidangan kajian semula  Konvensyen Senjata Biologi (BMC)  yang berlangsung selama tiga minggu di Geneva dan menutup tirainya kelmarin.

Katanya, persoalan tentang ancaman senjata biologi oleh Russia hanya bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada apa yang didakwanya sebagai ‘masalah sebenar’ iaitu aktiviti mencurigakan Amerika Syarikat (AS) di Ukraine.

Sejak perang skala penuh Russia di Ukraine bermula akhir Februari lalu, Moscow berulang kali menuduh Washington terlibat dalam pembangunan senjata biologi di Ukraine.

Pada Oktober lalu, Russia gagal meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyiasat dakwaannya.

Dakwaan itu yang ditolak sama sekali oleh Washington dan Kiev, timbul kembali semasa sidang kajian semula BMC dengan Duta Russia, Gennady Gatilov memberitahu pemberita bahawa Moscow tiada rancangan menggugurkan isu tersebut.

“Kami menganggap ia ancaman kepada negara kami,” katanya.  Gatilov mendakwa bahawa AS terlibat secara ketenteraan dalam makmal-makmal rahsia, bukan sahaja di Ukraine tetapi di banyak negara lain di sepanjang sempadan Persekutuan Russia.

Ditanya tentang apa bukti yang Russia ada, beliau berkata: “Dalam konteks operasi khas tentera Russia di Ukraine, beribu-ribu dokumen telah dirampas dan menunjukkan bahawa terdapat aktiviti ketenteraan di dalam makmal-makmal tersebut”.

“Kami bukan hanya bercakap. Kami ada fakta,” tambahnya. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI