MERSING – Sebuah keluarga tidak sempat menghabiskan hidangan makan malam mereka apabila rumah sewa didiami terbakar dalam kejadian di Jalan Mohd Ali, Kampung Air Merah di sini, malam kelmarin.
Ketua Balai Balai Bomba Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Azhari Awi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 8.28 malam melibatkan kebakaran.
Katanya, seramai 16 anggota dari BBP Mersing dan BBP Endau dikejarkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi pemadaman.
“Ketika kejadian seramai empat orang berada di dalam kediaman tersebut. Mereka sekeluarga sedang menikmati hidangan makan malam sebelum ternampak api dari arah dapur.
“Mereka kemudian terus menyelamatkan diri tanpa sempat menyelamatkan apa-apa barang. Difahamkan kediaman tersebut merupakan rumah sewa mereka.
“Ekoran kejadian itu menyebabkan 80 peratus kediaman tersebut terbakar dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, operasi ditamatkan pada pukul 10.04 malam dan pihaknya juga masih melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca serta anggaran kerugian.- KOSMO! ONLINE