fbpx

Raub kembali dilanda banjir, 34 mangsa dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba dan APM membantu membawa mangsa ke PPS Dewan Kampung Pia, Dong di Raub hari ini.

RAUB – Banjir melanda semula di tiga buah kampung di daerah ini apabila seramai 34 orang mangsa daripada 11 buah keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Pia, Dong, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak pukul 7 petang semalam hingga pukul 1 pagi yang menyebabkan air sungai melimpah masuk ke kawasan penempatan Kampung Sungai Kerak, Kampung Ajai dan Kampung Kuala Dong.

Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, operasi bagi memindahkan mangsa dilakukan sejak awal pagi tadi selepas rumah-rumah mangsa dinaiki air.

“Pihak bomba bersama polis dan Angkatan Pertahanan Awam terus melakukan pemantauan di kawasan berisiko banjir dan bersedia memindahkan mangsa sekiranya air naik ke kawasan rumah mereka,”katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shahrul Nizam memberitahu, paras Sungai Dong berdekatan Kampung Pasir Bayam berada pada paras amaran, iaitu setinggi 117.84 meter, manakala Sungai Gali berdekatan Kampung Ulu Gali berada pada paras bahaya.

Katanya, air Sungai Lipis berdekatan Batu Malim dan Sungai Dong masih menunjukkan paras biasa dan bertahan, manakala keadaan cuaca pada pagi ini cerah.

“Penduduk di pesisir Sungai Dong, Sungai Gali dan Sungai Lipis dinasihatkan sentiasa berwaspada serta kerap mendapatkan maklumat yang sahih mengenai situasi banjir di kawasan tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI