DOHA – Di awal pelantikannya, Lionel Scaloni hanyalah berstatus pengendali skuad remaja Argentina dan tidak ramai yang beranggapan jurulatih muda itu mampu bertahan lebih lama dengan pasukan senior.
Namun, Scaloni tidak menunggu lama untuk menghadirkan impak besar kepada La Albiceleste selepas berakhirnya penantian 28 tahun untuk menjuarai Copa America 2021 dan semakin menghampiri klimaks kariernya menamatkan kemarau kejuaraan Piala Dunia sejak 1986.
Tampil sebagai jurulatih termuda di Piala Dunia kali ini, Scaloni berjaya membentuk skuad Argentina yang seimbang dan tidak terlalu bergantung kepada Lionel Messi.
Empat kemenangan yang diraih dalam enam perlawanan persahabatan awal di bawah kendaliannya membolehkannya dilantik secara tetap sebagai ketua jurulatih pasukan itu pada 3 Ogos 2018.
Jurulatih berusia 44 tahun itu pastinya memikul tanggungjawab paling berat kali ini terutamanya untuk melunaskan misi balas dendam terhadap Perancis yang menewaskan Argentina di pusingan 16 terbaik pada edisi empat tahun lalu.
Di sebalik kejutan terbesar kekalahan kepada Arab Saudi yang menamatkan rekod tanpa kalah dalam 36 perlawanan, Scaloni merasakan keputusan itu sebagai titik tolak kepada kebangkitan Argentina di pentas tertinggi kali ini.
“Saya cuba tidak terlalu mengikut perasaan, tetapi tugasan ini cukup sukar kerana saya sedang mengetuai cita-cita rakyat Argentina,” katanya.
Perhitungan dengan Perancis di Stadium Lusail, malam ini menjadi pertembungan keempat buat kedua-dua pasukan di Piala Dunia dan Scaloni pastinya tidak rela membiarkan La Albiceleste terus kecewa seperti yang pernah dialami pada edisi 1990 dan 2014 apabila kedua-duanya tewas kepada Jerman.
Scaloni turut berjaya mencipta identiti buat Argentina apabila mampu menyerlahkan kualiti lebih baik ketika bertahan hingga mendapat gelaran ‘La Scaloneta’ yang bermaksud ‘Bas Scaloni’.
Scaloni juga berharap mampu menghadirkan sesuatu kepada Messi yang mahu menoktahkan kejayaan besar dalam kariernya – AGENSI