DOHA – Legenda bola sepak Argentina, Gabriel Batistuta melaungkan keyakinan pasukan itu memiliki kemampuan untuk menjulang trofi Piala Dunia 2022 menjelang perlawanan akhir menentang Perancis di Stadium Lusail malam ini.
Skuad La Albiceleste dilabelkan sebagai pilihan untuk membawa pulang trofi teragung itu selepas menampilkan aksi cukup meyakinkan ketika menewaskan Croatia 3-0 pada perlawanan separuh akhir.
Bekas penyerang Fiorentina itu percaya kapten, Lionel Messi akan menjadi watak penting buat pasukan selepas dia menjadi penjaring terbanyak buat Argentina dalam saingan Piala Dunia dengan 11 gol.
Dalam pada itu, kualiti yang dimiliki skuad kendalian Lionel Scaloni juga dilihat sebagai faktor yang mampu membantu mereka untuk menghalang Perancis muncul juara dua kali berturut-turut.
“Secara jujur, saya hanya sasar dia (Messi) bermain lebih tenang dalam usia sebegitu. Bagaimanapun, dia mengejutkan ramai orang apabila masih lagi mampu bermain seperti seorang pemain berusia 20-an.
“Mungkin dia datang ke sini dengan sasaran untuk menang Piala Dunia, sebab itu dia boleh bermain pada tahap tertinggi. Inilah yang sangat diperlukan dalam bola sepak ketika ini, iaitu semangat yang ditunjukkan Leo (Messi),” katanya.
Aksi final malam ini pastinya sangat penting buat Messi memandangkan ia adalah penampilan terakhirnya dalam Piala Dunia selain satu-satunya peluang menebus kekecewaan muncul naib juara pada edisi 2014.
Sementara itu, Batistuta juga mengakui, tidak kecewa selepas menyaksikan Messi menjadi penjaring terbanyak Argentina dalam Piala Dunia dengan meleburkan rekod 10 gol yang dipegangnya sebelum ini.
“Melihat Messi mengambil alih kedudukan (rekod) itu langsung tidak mengecewakan saya kerana sudah lama ia menjadi milik saya. Sekarang, Leo adalah individu paling tepat untuk ambil alih rekod tersebut.
“Dia bukanlah makhluk asing seperti yang disebut-sebut ramai orang sebelum ini. Dia hanyalah manusia biasa yang bermain bola sepak lebih baik berbanding orang lain. Saya percaya ramai orang yang gembira melihat dia bermain,” ujarnya. – AGENSI