DOHA – Maghribi terpaksa berpuas hati menamatkan kempen Piala Dunia 2022 di tempat keempat selepas tewas 2-1 kepada Croatia pada aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Khalifa International sebentar tadi.
Ini adalah perhitungan kedua buat Croatia dan Maghribi di Piala Dunia 2022 selepas terikat tanpa jaringan ketika perlawanan pertama Kumpulan F, 23 November lalu.
Selain keputusan seri dengan Maghribi, Croatia juga miliki rekod tanpa bolos ketika menentang wakil Afrika dalam dua Piala Dunia sebelum ini, tewaskan Cameroon 4-0 semasa edisi 2014 dan tundukkan Nigeria 2-0 pada saingan empat tahun lalu.
Sekalipun gagal memastikan tempat ketiga, kejayaan Maghribi muncul sebagai empat pasukan terbaik Piala Dunia kali ini sudah pun memastikan pencapaian terbaik pernah dilakukan wakil dari Afrika manakala kejayaan Croatia ini mengulangi keputusan yang dicatatkan pada edisi 1998.
Terdahulu, Josko Gvardiol terlebih dulu meletakkan Croatia di depan dan jaringan pada minit ketujuh itu memastikan namanya sebagai penjaring termuda skuad Vatreni di pentas Piala Dunia.
Bagaimanapun, keceriaan itu hanya bertahan dua minit apabila Achraf Dari kembali menyamakan kedudukan namun selepas itu Maghribi seakaan lebih selesa ‘berkampung’ di kawasan sendiri untuk membiarkan Croatia mengatur serangan.
Selepas beberapa peluang terbaik gagal disudahkan, minit ke-42, Mislav Orsic sekali lagi menewaskan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou untuk memastikan 45 minit pertama menjadi milik Croatia.
Bersambung separuh masa kedua, Maghribi dilihat makin berani untuk melakukan serangan namun skuad Atlas Lions sering dikecewakan oleh kesilapan mudah dengan melakukan hantaran tidak tepat.
Selepas berjaya mengharungi 70 minit dengan kelebihan satu jaringan, Croatia seakan sudah mula keluar daripada situasi tekanan dan dilihat tidak terlalu terdesak untuk memburu gol ketiga.
Peluang terbaik Maghribi akhirnya hadir pada minit ke-75 sebaliknya penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic sekali lagi mempamerkan ‘tangan ajaib’ apabila menafikan rembatan jarak dekat Youssef En-Nesyri. – KOSMO! ONLINE