ISKANDAR PUTERI – Juara dunia silat empat kali, Mohd. Al Jufferi Jamari kesal kerana gagal membantu negara untuk melahirkan pesilat pelapis yang mampu menggantikan dirinya.
Menurut pesilat profesional itu, dia berdepan cabaran mencari pelapis baharu khususnya individu yang mempunyai semangat dan konsistensi untuk mempertahan sesuatu kejuaraan.
Katanya, setiap atlet perlu mempunyai sifat sentiasa ‘lapar’ kejayaan untuk memastikan mereka terus konsisten di peringkat tertinggi.
“Saya sedikit kesal kerana tidak dapat membantu menyediakan pesilat pelapis setelah membuat keputusan untuk berundur diri daripada mewakili negara dalam sukan ini.
“Kalau tanya saya, adakah pesilat pelapis yang boleh menggantikan tempat saya, sejujurnya masih belum ada, kerana kalau hendak menang, semua atlet boleh menang, tetapi untuk mempertahankan kejuaraan itu susah.
“Maksudnya daripada semangat dan keupayaan diri apabila menang itu bagaimana hendak dikekalkan, tawaduk dan terus merendah diri, yang itu kebanyakannya tiada,” katanya selepas Kejuaraan Pencak Silat Enam Penjuru di Stadium Tertutup EduCity di sini kelmarin.
Al Jufferi memberitahu, antara cabaran utama adalah peredaran zaman dan perubahan corak pemikiran generasi muda ketika ini yang berbeza dengan corak pemikiran generasi terdahulu.
“Zaman sekarang bukan seperti dahulu, dahulu kalau hendak berjaya kena usaha sendiri, sebab dahulu kita belajar daripada susah dan senang kemudian. Zaman sekarang atlet perlu diberikan sokongan dan dorongan pihak ketiga.
“Saya training empat tahun, tidak sertai mana-mana pertandingan hanya untuk menjadi seorang juara yang terus berkekalan.
“Selama empat tahun training dan 15 tahun dalam dunia silat untuk wakili negara, jadi secara keseluruhan 19 tahun saya terlibat dalam sukan ini, itu tempoh yang sangat panjang,” ujarnya.
Al Jufferi turut memberitahu, selain terlibat dengan beberapa penggambaran filem selepas bersara, beliau turut menghasilkan pakaian pelindung badan silat elektronik yang mempunyai sensor dengan kerjasama Persekutuan Silat Melayu Netherlands.
Menurutnya, usaha itu diharap dapat memudahkan pengadilan sukan silat dalam sesuatu pertandingan memandangkan penilaian mata selama ini diberikan oleh juri atau pengadil.