HULU SELANGOR – Seorang ejen hartanah maut selepas merempuh sebuah kereta di simpang tiga Taman Rasa Utama, Kilometer 12 Jalan Kuala Kali-Bukit Beruntung, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 7 malam itu, lelaki berusia 28 tahun tersebut yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki ZX600, meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, siasatan mendapati penunggang motosikal itu dalam perjalanan menghala ke Bukit Sentosa.
“Mangsa difahamkan tidak sempat mengelak Toyota Vios dipandu seorang wanita berusia 28 tahun yang sedang masuk ke simpang Taman Rasa Utama.
“Akibat kemalangan itu, lelaki berkenaan maut di lokasi akibat parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Susulan itu, Suffian berkata, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu supaya tampil membantu siasatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE