PETALING JAYA – Pengorbanan seorang wanita menggendong suaminya yang sakit menggunakan tangga dari tingkat empat kediaman mereka untuk dibawa ke Hospital Serdang bagi rawatan kesihatan, mengundang sebak pelbagai pihak.
Menerusi perkongsian di Facebook, Lembaga Zakat Selangor (LZS), wanita kuat yang dikenali sebagai Nik Junainah merupakan seorang guru agama dan mempunyai dua cahaya mata.
“Seorang isteri yang taat pada suami tercinta, berkongsi diwaktu susah dan sukar. Walau dalam situasi seorang yang berkerjaya sebagai seorang guru agama, namun tanggungjawab utamanya terhadap suami tetap dijalankan.
“Jika dilihat pada sosok tubuh serta keupayaan seorang wanita, tidak mampu untuk mengendong, memapah tubuh yang tidak berdaya.
“Tetapi dengan kecekalan atas dasar tanggungjawab, segalanya menjadi mudah,” kata LZS.
Menurut hantaran LZS itu, suami wanita tersebut mengidap masalah kulit kronik (Psoriasis) dan juga mengalami masalah sendi dan hati sejak 12 tahun lalu.
“Empat atau lima kali sebulan, menjadi rutin Nik Junainah menguruskan suaminya ke hospital selain perlu menguruskan dua orang anaknya yang masih bersekolah.
“Dengan pendapatan sebagai guru agama ditambah elaun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang diterima, sebahagiannya digunakan untuk membiayai pinjaman perumahan, rawatan dan keperluan harian,” ujarnya.
Dalam pada itu, hasil siasatan LZS, keluarga tersebut layak didaftarkan sebagai asnaf miskin.
“Insha-Allah, mereka akan dibantu dengan bantuan kewangan, ansuran rumah serta bantuan perubatan bulanan untuk rawatan penyakit yang dihadapi selain bantuan kerusi roda dan katil khas kepada suaminya,” katanya.
Sehubungan itu, Nik Junainah meluahkan rasa syukur atas keprihatinan pelbagai pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada keluarganya.
“Saya sebolehnya tak nak meminta, walaupun terasa perit, saya masih mampu untuk menguruskan. Bukan saya sombong, tapi sebenarnya saya malu,” luahnya. – KOSMO! ONLINE