fbpx

Gadai maruah demi membantu keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PERJALANAN hidup Ira (bukan nama sebenar) tidaklah semudah yang disangka.

Hidup dalam keluarga yang susah dan mempunyai ramai adik-beradik membuatkannya tekad untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Berbekalkan pendidikan hingga tingkatan tiga, Ira nekad untuk membantu meringankan beban ibunya yang bekerja mengambil upah sebagai pembantu kedai demi kelangsungan hidup mereka.

Walaupun usia belum mencecah 16 tahun ketika itu, namun Ira yang merupakan anak sulung dalam keluarga tersebut langsung tidak malu untuk bekerja asalkan ibu dan adik-adiknya dapat makan seperti orang lain.

Menyorot kembali kisah silamnya, Ira yang lahir di Tawau, Sabah telah kehilangan bapa sejak berusia 12 tahun.

Tiga tahun kemudian, dia nekad berhijrah ke ibu kota selepas diajak sepupunya yang bekerja di sebuah bar.

Pada awalnya, agak sukar untuk Ira membuat keputusan berhijrah ke ibu kota kerana dia tidak mempunyai wang untuk ‘terbang’ ke Semenanjung.

“Saya masih ingat, ketika itu saya memang ingin bekerja untuk membantu keluarga. Lebih-lebih lagi, selepas sepupu saya beritahu bahawa ada kerja kosong sebagai pelayan tetamu di bar tempat dia bekerja.

“Namun, mengenangkan tiada wang dan makan pun cukup-cukup saja, saya batalkan hasrat berkenaan. Sebaliknya, saya beri fokus untuk bekerja di kampung sahaja,” katanya membuka bicara.

Ira yang dianugerahkan dengan wajah cantik, putih dan tinggi persis model berkata, hajatnya seakan-akan dipermudahkan apabila sepupunya itu bersetuju untuk membantu menguruskan semua kos termasuk tiket penerbangan dan tempat tinggal.

Ira meminta izin ibunya terlebih dahulu sebelum berlepas ke Kuala Lumpur. Pada awalnya, ibu Ira seakan tidak membenarkannya pergi.

Bagaimanapun, ibunya terpaksa akur dengan kehendak Ira untuk berhijrah demi membantu ekonomi keluarga.

Sebaik tiba di ibu kota, Ira diperkenalkan dengan pemilik bar tempat sepupunya bekerja.

“Pada bulan pertama saya kerja di situ, semuanya baik-baik saja. Separuh daripada gaji yang diterima termasuk duit tip pelanggan saya kirim ke kampung.

“Itu pertama kali saya dapat membantu keluarga dan membuat mereka tersenyum hasil titik peluh sendiri. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja,” katanya.

Akui Ira, hidupnya mula berubah selepas dia diminta untuk mencari rumah sewa sendiri apabila sepupunya terpaksa pulang ke Sabah kerana ibunya uzur.

Ketika itu, Ira dalam keadaan bingung kerana baru empat bulan berada di ibu kota dan belum dapat membiasakan diri dengan tempat tersebut.

“Apabila perlu pindah dan cari bilik sewa baharu, saya kena ada duit tambahan untuk dijadikan deposit.

“Gaji saya ketika itu memang cukup-cukup makan saja. Itu belum komitmen lain seperti bil elektrik, air dan kad tambah nilai telefon. Bab makan dan minum saya boleh berjimat lagi sebab kerja di bar.

“Keadaan memang agak ‘parah’ waktu itu. Duit memang sudah habis sehingga saya terpaksa berhutang dengan rakan sekerja. Keutamaan memang saya berikan kepada keluarga dahulu pada setiap bulan,” ujarnya.

Menurut Ira, salah seorang rakan senior di tempatnya bekerja telah menawarkan kerja part time sebagai pemuas nafsu pelanggan.

“Bila saya dengar, sumpah ia jijik. Walaupun saya ini tidaklah begitu baik, namun saya masih jaga batas-batas sebagai seorang perempuan Muslim.

“Dalam keadaan hutang semakin banyak dan gaji pula tidak mencukupi, saya tidak ada pilihan lain kecuali membuat kerja sampingan sebagai pelayan nafsu atau pelacur.

“Disebabkan itu, maruah saya tergadai, malah saya berhenti kerja di bar selepas menjadi perempuan simpanan. Saya juga mula terlibat dengan najis dadah,” katanya.

Malangnya, Ira telah ditahan oleh polis kerana positif dadah, sebelum dipenjara selama lapan tahun.

Ujar Ira, dia berasa sangat kesal kerana gagal memenuhi harapan ibu dan adik-adik di kampung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI