fbpx

Fuad Rahman, Tom enggan terburu soal kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA penyanyi ini kembali bercinta selepas bertemu semula dalam program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).

SELEPAS reda kehangatan Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), kisah lain membabitkan dua peserta program tersebut iaitu Fuad Rahman dan Tom menyambung tumpuan ramai.

Siapa sangka, sebuah program realiti membenihkan semula rasa sayang dua jiwa yang terpisah beberapa tahun lalu.

Hampir tiga bulan menuai cinta yang kembali berputik selepas terputus sekitar 2005, akhirnya hubungan istimewa antara mereka dapat dihidu ramai.

Hubungan mereka menjadi perhatian selepas tular video serta foto mesra dalam media sosial.

Begitulah kisah cinta antara penyanyi kelahiran Singapura, Fuad Rahman dan Tom atau nama penuhnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram.

Langit tidak selalunya indah, hubungan cinta yang kini mekar tiba-tiba dilanda dugaan, ditambah pula ramai mempersoalkan status Fuad yang dikatakan masih memegang gelaran suami orang.

Lebih membuatkan pasangan kekasih berkenaan terkesan apabila terdapat segelintir individu melemparkan tuduhan bahawa Tom merupakan punca pergolakan rumah tangga Fuad.

Tuduhan tersebut sekali gus mendakwa, Fuad, 43, ditebak berlaku curang dengan isterinya yang menetap di Singapura sepanjang menyertai GV9 di sini.

Bukan orang ketiga

Akui Fuad atau nama penuhnya Mohamed Fuad Abdul Rahman, keputusan berpisah dengan talak satu dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak secara profesional.

Malah, penceraiannya bukan disebabkan orang ketiga dan mereka berpisah secara baik kerana sudah tidak sehaluan lagi.

“Sebenarnya cinta kami berputik ketika konsert minggu kedua GV9.

“Tom adalah bekas kekasih saya suatu ketika dahulu dan kami pernah bercinta pada 2005, namun terpaksa berpisah kerana saya menjalani hukuman penjara sehingga 2010,” dedahnya.

Tidak tahan dengan tohmahan ramai, dia juga tampil menjelaskan bahawa Tom bukan wanita perampas seperti yang diperkatakan ramai.

FUAD dan Tom ada merancang untuk berkahwin tetapi buat masa ini mereka mahu fokus terhadap kerjaya.

“Tiada istilah dia punca rumah tangga saya goyah sedangkan sudah lebih tiga bulan saya dan isteri tidak bersama.

“Sudah ditakdirkan perkahwinan kedua saya hanya bertahan selama enam bulan. Kini, kami dalam proses bercerai.

“Selepas bertemu semula, Tom mengetahui bahawa saya masih lagi berstatus suami orang dan hubungan kami sekadar kawan ketika itu,” jelasnya.

Menyifatkan Tom sebagai wanita yang sangat mengambil berat tentang dirinya, Fuad bersyukur kerana dipertemukan semula dengan pelantun lagu Redha itu.

“Sepanjang GV9, dia banyak memberi sokongan dan menjaga saya dengan baik.  Kehadirannya membantu saya tidak menjebakkan semula diri dengan najis dadah.

“Dia banyak membantu mengubah saya menjadi manusia lebih baik. Kami juga tidak melakukan sebarang perkara merepek seperti yang diperkatakan ramai,” tegasnya lagi.

Katanya lagi, mereka mempunyai perancangan mendirikan rumah tangga, namun enggan terburu-buru dan mahu memberi fokus terhadap kerjaya terlebih dahulu.

Tak ambil peduli

Sementara bagi Tom pula, kehadirannya bukanlah punca keretakan rumah tangga Fuad, malah dia tidak gentar dengan sebarang tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

“Saya bukan punca perceraian Fuad dan isterinya. Rumah tangga mereka sudah berantakan sewaktu program GV9 lagi.

“Netizen boleh katakan apa sahaja dan saya tak takut sebab isu yang berlaku bukan disebabkan kehadiran orang ketiga tetapi masalah peribadi,” jelasnya.

Berkongsi lanjut, antara sebab utama dia kembali membuka pintu hati untuk menerima kehadiran Fuad dalam hidup ialah kerana mahu menjaga lelaki itu supaya tidak terbabit lagi dalam kancah penyalahgunaan dadah.

“Hubungan kami masih baharu dan saya akui pasti ada dugaan dan masalah. Saya hanya ikut saja apa yang sudah ditentukan Tuhan.

“Saya sayang dan hendak menjaga dia supaya tidak terbabit dengan kes dadah yang berlaku sebelum ini.

“Sebelum ini dia ada terfikir ke arah itu ketika kecewa dengan apa yang terjadi tetapi saya tak nak perkara yang tak elok berlaku kepadanya lagi,” katanya lagi.

Semakin bahagia, keluarga khususnya dua anak Tom, Putera Adler Lesta dan Putera Evans Ezra menerima kehadiran Fuad dengan baik.

“Anak-anak saya memanggil Fuad sebagai bapak, malah sangat menyayanginya. Fuad juga sudah bertemu keluarga saya dan semuanya berjalan dengan baik,” ujarnya.

Melewati kisah hidup masing-masing, Fuad pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali dan dikurniakan dua orang cahaya mata berusia 16 tahun dan 18 tahun.

Sementara, Tom pula pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan kesemua mahligai yang dibinanya sebelum ini berakhir dengan perpisahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI