fbpx

Fokus selesai projek sakit, terbengkalai – Akmal Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKMAL mengedarkan kalendar tahun 2023 kepada penduduk setempat semasa menghadiri majlis Pertemuan Penduduk Kim Teng Park, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan akan memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, langkah itu perlu dibuat kerana realitinya terdapat banyak projek-projek sedemikian termasuk melibatkan kediaman dan perumahan penduduk.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, tidak akan mengenepikan pelaksanaan projek-projek yang akan membawa pembangunan kepada negara pada masa depan.

“Sememangnya sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri lagi saya sudah meneliti pelbagai isu-isu berkaitan perumahan, malahan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru, itu juga merupakan isu yang diberikan tumpuan dalam menyantuni penduduk.

“Jadi sememangnya isu projek sakit atau rumah yang berdepan permasalahan ini seharusnya menjadi tumpuan, malahan kalau dilihat pandangan menteri sendiri, beliau akan ambil inisiatif untuk merangka balik dasar perumahan negara.

“Itu (dasar perumahan negara) lebih ke arah ke hadapan tetapi hakikatnya ketika ini pun masih banyak lagi rumah-rumah yang bermasalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pertemuan Penduduk Kim Teng Park, di pusat bandar raya, di sini, hari ini.

Akmal Nasrullah turut memberitahu, pihaknya dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perumahan minggu depan bagi meneliti isu-isu berkaitan kementerian selepas sesi Parlimen, esok.

“Minggu depan saya akan ada taklimat khusus dengan Jabatan Perumahan, kerana sebelum ini maklumat yang saya terima berhubung isu perumahan adalah atas kapasiti Ahli Parlimen, jadi saya rasa lebih elok diberikan peluang untuk meneliti dengan terperinci situasi semasa sebelum membuat perancangan.

“Ruang masa itu perlu untuk saya memahami perkara berkaitan daripada sudut pembuat dasar dan juga peringkat pelaksana agar segala permasalahan bukan hanya dikenal pasti tetapi juga diselesaikan.

“Sungguhpun kementerian lebih memberi tumpuan kepada pembangunan persekutuan, namun kerjasama baik dengan kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan perlu terus dijalin untuk menjayakan matlamat utama demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI