PELAWAAN menemu bual dan memotret foto sekali gus menjadikannya sebagai wajah sampul hadapan sisipan Pose disambut baik pemilik nama lengkap Muhammad Alif Abdullah itu atau jenama pentasnya, Alyph.
Fenomena lagu berjudul SWIPE benar-benar membuka lembaran baharu dalam karier seni Alyph, 33, sebagai seorang pelaku seni muzik.
Lagu digubah dan ditulis sepenuhnya Alyph mencipta kejayaan tersendiri. Di mana-mana sahaja, SWIPE menjadi siulan. Dalam media sosial seperti TikTok khususnya, menjadi pilihan ramai.
SWIPE mudah menggapai kejayaan dari segi komersial dan barangkali tercatat sebagai antara lagu Melayu paling popular untuk tahun 2022.
“Bila jadi begini (cipta fenomena), saya bersyukur, tetapi kejayaan ini takkan menghilangkan fokus saya untuk terus menghasilkan lagu-lagu berkualiti dan pada masa sama, memajukan industri kita.
“Saya berasa bahagia orang dapat terima SWIPE sebagai lagu pilihan mereka. Pada saya, satu perasaan yang sangat sukar digambarkan.
“Sebab lagu ini tular sebelum video muziknya keluar. Orang dengar audionya sahaja, mereka sudah tertarik. Itu kerja saya, buat muzik,” katanya ketika sesi fotografi dan temu bual eksklusif di studio Media Mulia, Petaling Jaya beberapa hari lalu.
Jerih perih fenomena SWIPE
Bercakap lebih mendalam tentang jerih perih SWIPE sebelum diterima khalayak, bekas ahli kumpulan Sleeq itu berkata, pada mulanya lagu tersebut bukanlah pilihan pertama termasuklah menampilkan taikun kosmetik, Datuk Seri Vida berdurasi hanya beberapa saat dalam video muzik.
“Pada perspektif saya, meletakkan Vida dalam lagu juga sebenarnya satu risiko. Kita tak boleh bohong yang ramai orang kenal dirinya.
“Apa sebab beliau sangat popular dalam budaya pop masyarakat Melayu? Sungguhpun begitu, macam pernah dikatakan, saya suka cabaran. Tak pernah dibuat orang, tak bermakna saya tak boleh buat.
“Saya takut juga sebenarnya sama ada orang boleh terima atau tidak lagu yang ada ‘berhenti’ pada bahagian tengah-tengah. Kemudian ada ‘skrip’ daripada seseorang yang sangat dikenali dengan sensasi atau karakternya yang tersendiri (Vida).
“Boleh sahaja orang benci lagu SWIPE atau senang labelkan saya sebagai pemuzik yang langgar prinsip mahupun sengaja menumpang populariti Vida.
“Andai kata, penerimaan lagu ini tidak seperti sekarang, memang malu saya. Kalau itu terjadi, saya terima sahaja tapi saya nak ‘buka’ pandangan orang bahawa muzik itu luas. Kita boleh buat tanpa langgar prinsip dan ada taste,” jelasnya panjang lebar.
Sering berulang-alik Singapura-Kuala Lumpur disebabkan karier sebagai pemuzik, Alyph mengulas tentang kemungkinan dirinya diberikan status penduduk tetap atau waima, warganegara seperti beberapa figura kelahiran Kota Singa lain seperti Datuk Aaron Aziz dan Datuk Adi Putra.
Warganegara, masuk AJL
Katanya, dia pernah terfikir untuk memohon status atau kad pengenalan warganegara Malaysia, namun ada beberapa perihal rumit menghalang.
“Sudah tentu (pernah terfikir) tapi saya jenis orang barangkali ‘cable’ tak kencang kot. Saya tak tahu macam mana nak kuatkan benda itu (cable).
“Masa saya banyak untuk muzik dan keluarga. Jadi, soal status warganegara perlu dikaji lebih mendalam.
“Lebih 10 tahun ulang-alik, saya rasa macam dah jadi warganegara. Malaysia macam rumah saya tapi bab penduduk tetap ataupun warganegara, malas nak pusing sangat. Paling penting buat saya adalah buat muzik,” katanya.
Analogi persoalan di atas adalah jika Alyph berstatus warganegara Malaysia, peluangnya untuk merangkul trofi acara tempatan seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM) pasti terbuka luas.
“Tak boleh masuk bertanding sebab saya orang Singapura. Dah memang undang-undangnya begitu. Tapi saya bersyukur dengan kejayaan yang diraih setakat ini.
“Saya dah terbitkan banyak lagu untuk artis Malaysia walaupun mereka sedar, kalau nama saya terselit sebagai penerbit sekalipun, memang tak layak bertanding misalnya dalam AJL.
Minda pemuzik VS buat duit
“Pun begitu, saya berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Saya tak nampak apa-apa piala atau trofi di negara ini. Tapi saya bersyukur dan bahagia kerana tetap diberi peluang cari makan di Malaysia,” terangnya.
Alyph turut menyentuh tentang konsistensi momentum cemerlang yang akan menjadi jangkaan khalayak.
Bukan mudah juga untuk membuatkan ‘orang industri’ percaya dia boleh menghasilkan sesuatu yang berkualiti dari sudut pandang muzik.
“Saya tertekan sebab bukan mudah buat orang percaya yang kita boleh buat. Contohnya sebelum peluncuran SWIPE, berlaku banyak perdebatan.
“Banyak kali saya minta orang beri peluang untuk percaya lagu itu. Kalau sebelum ini dah ada beberapa lagu hit, tetap mereka (orang atas) tak percaya.
“Saya faham mereka fikir keuntungan dan perihal lain tapi tiada siapa tahu kepayahan orang muzik sebelum terjadinya sesuatu produk yang ‘meletup’,” tutup Alyph.