KATHMANDU, Nepal – Seorang penulis blog makanan di China maut ditikam selepas diserang hendap ketika membuat siaran langsung dengan berjalan di sekitar sebuah pasar di Kathmandu.
Gan Soujiong, 39, diserang pesaingnya, Feng Zhengyung, 37, ketika membuat siaran langsung tersebut.
Zhengyung juga merupakan seorang penulis blog yang menggunakan nama ‘Ayun’ di internet.
Soujiong yang menggunakan nama ‘Fatty Goes to Africa’ di internet, dirakam berbual dengan dua rakannya ketika dia berjalan melalui pasar terbuka di bandar itu.
Siaran itu kemudiannya diganggu oleh gegaran dan jeritan kuat sebelum skrin tiba-tiba gelap.
Video berasingan memaparkan Soujiang yang kelihatan cemas duduk di atas tanah dengan badannya berlumuran darah, manakala seorang lagi yang dipercayai penyerang didengari memakinya dalam bahasa Mandarin.
Dia dilihat memegang perutnya untuk melihat kecederaan dan memberi isyarat kepada orang yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Media tempatan melaporkan bahawa mangsa ditikam di dada dan perut semasa serangan itu dan meninggal dunia lewat hari sama, walaupun pasukan paramedik berjuang untuk menyelamatkan nyawanya.
Zhengyung ditahan pada 4 Disember lalu kerana disyaki membunuh Soujiong dan mencederakan rakannya, Li Chuzan, 32.
Menurut laporan, Zhengyung yang tinggal di Nepal menyimpan dendam terhadap Soujiang, berpunca daripada pelbagai pertikaian yang tidak dinyatakan dan hutang yang tidak dapat dilangsaikan. – Agensi