fbpx

Banjir: 77 PPS di lima negeri, tempat berlindung 5,385 penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Seramai 5,385 mangsa banjir daripada 1,551 keluarga kini ditempatkan di 77 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di 17 daerah melibatkan lima negeri iaitu Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor setakat pukul 4 petang tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat yang diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mula diaktifkan sejak awal pagi tadi.

“Semua PKOB Negeri juga telah diminta untuk memaklumkan kepada PKOB Pusat berhubung sebarang keperluan dan isu yang memerlukan intervensi segera bagi memastikan pengurusan tindak balas berjalan lancar.

“Menurut laporan yang diterima oleh Nadma daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada pukul 2.30 petang tadi, Luruan Monsun yang sedang berlaku dijangka akan berterusan sehingga 24 Disember ini,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, fenomena tersebut berpotensi membawa angin kencang, ombak besar dan hujan berterusan di negeri-negeri utara, timur Semenanjung dan timur Sabah serta angin kencang dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

“Susulan itu, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan yang melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sehingga 21 Disember ini manakala Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan pula dijangka berlaku sehingga 22 Disember.

“Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) pada pukul 2 petang tadi telah melaporkan terdapat 51 lokasi banjir mengalami kejadian cerun atau jalan runtuh dan mendap serta kerosakkan jambatan,” ujar beliau.

Armizan berkata, kejadian-kejadian tersebut telah berlaku di empat daerah di Kedah, satu di Perak, satu di Selangor, empat daerah di Negeri Sembilan, 16 daerah di Kelantan, 18 daerah di Terengganu, empat di Pahang, dan tiga di Johor yang melibatkan 18 jalan persekutuan serta 33 jalan negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI