fbpx

9,000 pelancong masuk Langkawi setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pantai Chenang merupakan antara destinasi wajib dikunjungi pelancong di Langkawi. – SHAHIR NOORDIN

LANGKAWI – Pulau peranginan ini mencatatkan kemasukan seramai 2.36 juta pelancong sepanjang tahun ini setakat 10 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Nasaruddin Abdul Mutta­lib berkata, pada bulan ini, Langkawi menerima kira-kira 9,000 pelancong termasuk dalam dan luar negara dalam sehari.

“Jumlah kemasukan itu disumbangkan daripada 10 perjalanan feri masuk dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah dalam sehari serta 30 penerbangan ke pulau peranginan ini.

“Setiap penerbangan yang masuk ke pulau ini juga dipenuhi penumpang sehingga 90 peratus daripada kapasiti pesawat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Songkhla Rajabaht, Thailand di Muzium Padi, Laman Padi, di sini semalam.

MoU itu adalah bagi mengadakan perkongsian ilmu dan prog­ram bersama dengan universiti tersebut yang juga rakan kongsi kepada Geotapak Satun, Thailand.

Nasaruddin pada masa sama turut menyatakan keyakinannya bahawa Pulau Langkawi akan mencapai sasaran kemasukan sebanyak 2.5 juta pelancong sepanjang tahun ini.

“Terdapat banyak pertan­dingan serta sambutan diadakan di Langkawi bagi menerima kemasukan lebih ramai pengunjung pada bulan ini.

“Antara aktiviti yang dianjurkan adalah Pesta Bendang yang diadakan di Laman Padi selama tiga hari bermula semalam (kelmarin), Langkawi International Half Marathon, Langkawi International Tug-of-War dan Langkawi International Skydiving Challenge,” katanya.

Nasaruddin memberitahu, momentum kedatangan pelancong dijangka berterusan sehingga Pameran Antarabangsa Mari­tim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) dijangka diadakan pada tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI