KOTA TINGGI – Seramai 148 peserta luncur ombak dari Thailand, Myanmar, Maldives, Singapura termasuk wakil dari seluruh Malaysia memeriahkan Pengerang Surfing International 2022, di Pantai Tiara, Tanjung Lompat, Bandar Penawar, di sini.
Acara yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM20,000 itu menerusi enam kategori itu adalah platform untuk memilih peserta terutamanya dari Malaysia untuk penyertaan ke peringkat antarabangsa yang bermula 16 Disember lalu dan berakhir hari ini.
Presiden Persatuan Luncur Ombak Negeri Johor, Abu Bakar Abd. Manaf berkata, kejohanan yang dianjurkan bersama Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) itu adala untuk memperkenalkan lagi sukan luncur ombak dalam kalangan masyarakat disamping mencungkil bakat-bakat baru.
“Melalui kejohanan ini kita buat pemilihan atlet untuk wakili pertandingan ke luar negara peringkat antarabangsa contohnya untuk Suka Sea, Olimpik dan kejohanan dunia di Bali tahun depan.
“Sukan luncur ombak kini sudah pun masuk dalam acara bagi Sukan Olimpik jadi kita mahu cari lebih ramai lagi bakat-bakat muda. Sukan ini bukan sekadar sukan suka-suka lagi sebab sudah libatkan Majlis Sukan Negara, ada akta sukan apa semua.
“Kita sebagai persatuan negeri dan saya selaku jurulatih Malaysia untuk sukan luncur ombak ini memang berusaha untuk membawa sukan ini ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Kosmo!, di sini.
Abu Bakar berkata, sukan luncur ombak sebenarnya turut menyumbang dari segi pembangunan ekonomi pelancongan yang membantu memperkenalkan kawasan pantai-pantai cantik yang ada di negara ini.
Katanya, seperti di Pantai Tiara, Tanjung Lompat itu sebelum ini ia sebuah kawasan yang tidak terdedah kepada awam, namun dengan adanya penganjuran kejohanan berkenaan membuka mata orang ramai untuk datang ke tempat tersebut.
“Ombak di pantai ini sangat cantik sesuai sangat untuk melakukan sukan luncur ombak terutama pada musim monsun selama empat bulan dari November hingga Februari. Namun selepas monsun habis biasanya kita akan beralih ke Langkawi kemudian naik ke Phuket, Bali, Taiwan, Korea, Jepun, Indonesia, Filipina mengikut event.
“Di Johor memang terdapat banyak pantai yang cantik-cantik dan sesuai untuk penganjuran sukan ini antaranya di Tanjung Buluh Sedili, Pantai Batu Layar, Pantai Desaru, Tanjung Balau dan di sini. Kawasan-kawasan ini kita ambil kira dari pengalaman selama 20 tahun dalam bidang ini termasuklah melihat kepada ketinggian ombaknya,” katanya.
Menurutnya, dia juga berharap sukan luncur ombak itu akan menjadi pilihan lebih ramai generasi muda di daerah ini terutamanya yang tinggal berhampiran pantai-pantai tersebut.
“Seperti di Brazil sukan bola sepak dahulunya berada di tempat pertama menjadi pilihan namun kini berada di tempat kedua dimana mereka mula beralih kepada sukan luncur ombak dan kini menjadi sukan nombor satu di negara mereka.
“Kita juga berharap agar sekolah-sekolah berhampiran kawasan-kawasan pantai dapat mengetengahkan sukan ini dikalangan pelajar. Kita memang amat galakkan mereka dari kecil untuk sertainya,” katanya lagi.- KOSMO! ONLINE