GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) menahan 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam dua operasi berasingan di perairan Pulau Pinang, Jumaat lalu.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 131 kilometer barat Pulau Kendi kira-kira pukul 1.50 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak dikendalikan oleh enam orang PATI warga Myanmar.
“Kesemua mereka berusia antara 35 hingga 50 tahun itu didapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri serta permit bekerja ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, pada hari yang sama, Maritim Malaysia Pulau Pinang menahan sebuah lagi bot nelayan asing dari Indonesia di kedudukan 35 kilometer Barat Daya Pulau Kendi, kira-kira pukul 7.20 petang ketika melaksanakan rondaan Op Tanjung.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan asing Indonesia terbabit mendapati, bot yang berpangkalan di Tanjung Balai, Indonesia itu dikendalikan lima kru warga negara berumur lingkungan 13 hingga 30 tahun.
“Kesemua mereka juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Tambahnya, kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan termasuk hasil laut dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE