fbpx

10 orang terkorban dalam kebakaran bangunan pangsapuri di Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba dan penyelamat berada di Vaulx-en-Velin, pinggir bandar Lyon, Perancis kelmarin. - AFP

PARIS – Sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk lima kanak-kanak terbunuh dalam kebakaran yang berlaku di sebuah blok pangsapuri lapan tingkat di pinggir bandar Lyon, Perancis pagi kelmarin, lapor stesen penyiaran CNN.

Kebakaran berlaku di tingkat bawah bangunan itu di Vaulx-en-Velin, kata jurucakap Persekutuan Kebangsaan Bomba (FNSPF), Mejar Geoffrey Casu kepada saluran berita LCI.

Api mula merebak di tiga tingkat teratas bangunan itu, demikian menurut saluran berita BFMTV.

Penghuni blok dikejutkan dari tempat tidur mereka dalam kejadian yang disebut oleh seorang penduduk sebagai ‘kiamat’ ketika asap dan api menyelubungi kediaman mereka.

Dalam temu bual bersama stesen radio RTL, penduduk itu berkata, dia dan suaminya menutup anak-anak mereka dengan kain basah untuk bertahan ketika kebakaran.

Kejiranan itu dikejutkan dengan kekecohan seawal pukul 2.25 pagi (waktu tempatan) dengan jeritan ibu bapa dan anak  yang meminta tolong dari balkoni pangsapuri mereka.

Orang ramai kemudian memberikan bantuan dengan menggunakan tangga yang mereka temui.

Perkhidmatan kecemasan dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar 3.12 pagi dan tiba 13 minit kemudian. 

Kira-kira 170 anggota bomba dan 65 jentera bomba dikerah ke lokasi kejadian, kata pihak berkuasa wilayah.

Anggota penyelamat mendapati laluan kecemasan di bangunan itu telah diselubungi asap yang memaksa mereka menggunakan tangga untuk menyelamatkan mangsa.

Ketika api berjaya dipadamkan sekitar pukul 6 pagi,  empat orang berada dalam keadaan kritikal dan 10 yang lain termasuk dua anggota bomba cedera ringan, kata pihak berkuasa wilayah Auvergne-Rhone. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI