fbpx

Terjun laut sebelum bot karam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BOT nelayan tempatan dinaiki lima kru tersebut yang karam di kedudukan 5.3 batu nautika timur Tanjung Lompat, Kota Tinggi, Johor pagi semalam.

KOTA TINGGI – Lima kru bot nelayan warga Indonesia terselamat selepas bertindak terjun ke dalam laut apabila bot dinaiki karam di kedudukan 5.3 batu nautika timur Tanjung Lompat di sini pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kejadian kira-kira pukul 5.30 dari kapal MT Atlantica Breeze memaklumkan sebuah bot nelayan tempatan telah hanyut sehingga melanggar kapal mereka.

Katanya, ekoran itu bot Perkasa 29 dan Perkasa 30 telah diatur gerak ke lokasi dan hasil pemeriksaan mendapati kejadian berpunca dari kerosakan enjin bot
nelayan tersebut.

“Keadaan cuaca yang buruk pada ketika itu telah menyebabkan bot hanyut dan melanggar kapal MT Atlantica Breeze yang sedang bersauh di kawasan tersebut.

“Akibat dari pelanggaran itu, bot telah mengalami kebocoran dan mulai karam. Kesemua lima kru termasuk tekong bertindak terjun ke laut dan diberi bantuan awal oleh kapal tangki serta bot nelayan tempatan yang berada sekitar kawasan itu.

“Kelima-lima mangsa merupakan warga Indonesia berumur 30 hingga 43 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dua daripada mangsa telah dibawa ke jeti Zon Maritim Tanjung Sedili seterusnya ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk rawatan kerana mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, Maritim Malaysia merakamkan setinggi – tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memberikan bantuan pantas kepada mangsa terlibat.

“Maritim Malaysia juga ingin menasihatkan kepada orang ramai terutamanya komuniti maritim supaya cakna dengan perubahan cuaca dan mengutamakan keselamatan.

“Tangguhkan sebarang aktiviti sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Sebarang kecemasan segera hubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor ditalian 07 – 219 9404,” katanya lagi.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI