ALOR SETAR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dicadangkan supaya mewujudkan ‘mobile base station’ untuk kegunaan segera sekiranya berlaku bencana di negara ini.
Pengerusi Forum Pengguna dan Multimedia Malaysia (CFM), Muhammad Radzillah Abdullah berkata, langkah itu akan memudahkan tempat-tempat berisiko dan bencana mendapat capaian internet dengan baik.
Langkah itu katanya, mampu membantu melancarkan komunikasi di kawasan tersebut.
“Dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Genting Highland – Batang Kali, Hulu Selangor semalam, capaian internet di kawasan tersebut dilaporkan lemah sehingga mengakibatkan maklumat lambat sampai kepada khalayak.
“Keadaan itu juga menyukarkan komunikasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) selain memberi kesan terhadap kelewatan laporan media,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, CFM mencadangkan supaya SKMM dapat mewujudkan ‘mobile base station’ untuk kegunaan segera sekiranya berlaku bencana seperti itu.
Berikutan capaian internet yang lemah, empat syarikat utama telekomunikasi negara telah diarah untuk ke lokasi tanah runtuh tersebut bagi meninjau masalah tersebut dan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasinya.
Capaian internet yang lemah itu turut menyebabkan wartawan berjalan kaki sejauh satu kilometer dari pusat media yang disediakan Jabatan Penerangan untuk mendapatkan akses internet bagi menghantar laporan masing-masing.
Mengulas lanjut, Muhammad Radzilah berkata, CFM yang mewakili komuniti pengguna komunikasi di negara ini amat prihatin dan cakna dengan isu berkenaan.
“Kami menggesa SKMM serta syarikat telekomunikasi untuk bertindak pantas bagi menyelesaikan isu ini.
“Tindakan segera perlu diambil ketika berlakunya bencana sedemikian dan diharapkan agar perkara serupa tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE