HULU SELANGOR -Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tapak perkemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland, di sini akan diteruskan sehingga pukul 4 pagi esok.
Namun begitu, arahan pemberhentian operasi SAR akan dikeluarkan sekiranya cuaca semakin buruk.
Keadaan cuaca di lokasi kejadian menunjukkan hujan rintik bermula kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, selepas berbincang dengan anggota bomba, kedua-dua mereka telah bersetuju meneruskan operasi tersebut.
“Selepas berbincang dengan pihak bomba, kami bersetuju meneruskan operasi mencari dan menyelamat sehingga pukul 4 pagi dan disambung 9 pagi esok.
“Sekiranya cuaca semakin buruk, operasi SAR akan diberhentikan serta merta,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, operasi SAR akan diberhentikan secara serta merta sekiranya cuaca buruk.
“Jika berlakunya hujan operasi yang dijalankan akan berhenti serta merta, manakala anggota terlibat di lokasi juga akan diletakkan di tempat yang selamat,” katanya. -KOSMO! ONLINE.