PETALING JAYA – Runtuhan tanah yang melebihi 10 tingkat bangunan menyukarkan proses pencarian dan penyelamatan mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerusi kenyataannya berkata, runtuhan tanah adalah lebih daripada 10 tingkat bangunan sehingga ia menyukarkan kerja- kerja penyelamatan dijalankan
“Walaubagaimana pun, usaha daripada anggota bomba yang tidak berputus asa mencari mangsa yang masih hilang adalah amat dihargai.
“Mohon kepada semua pihak untuk mendoakan agar segala urusan dapat dipermudahkan dan semoga keluarga mangsa yang terkorban di tragedi Father’s Organic Farm diberi kekuatan dan kesabaran,” katanya menerusi satu hantaran di Twitter hari ini.
Setakat ini 12 lagi mangsa runtuhan ketika perkhemahan itu masih belum dijumpai
Jelas beliau, kerja-kerja penyelamatan masih gigih dijalankan oleh pasukan bomba serta penyelamat di tempat kejadian dan kerajaan juga akan terus berusaha sehingga semua mangsa yang hilang dapat ditemui.
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen di Twitter mendoakan agar mangsa yang hilang dapat ditemui segera serta mendoakan agar ahli keluarga mangsa diberikan ketabahan untuk menghadapi dugaan tersebut.
“Insiden ini sungguh menyayat hati. Semoga dipermudahkan segala urusan,” ciap seorang netizen, @ctkusut.
“Semoga semua ahli keluarga yang terlibat dan anggota penyelamat diberikan ketabahan mengharungi dugaan ini. Kami (rakyat Malaysia) sungguh bersimpati atas kehilangan yang anda alami,” kata @umiAuni3010 di Twitter. – KOSMO! ONLINE.